Saturday, August 22, 2009

Arahan kosongkan kampung kekal

Arahan kosongkan kampung kekal

Rayuan kedua penduduk tak serah hartanah ditolak hakim sebulat suara

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan semalam mengekalkan keputusannya pada 24 Jun, yang menuntut penduduk Kampung Buah Pala di Pulau Pinang mengosongkan rumah mereka dan menyerahkan hartanah itu kepada pemaju, yang memperoleh kebenaran untuk memajukan kawasan itu.

Permohonan kedua bagi kebenaran merayu yang dikemukakan penduduk berkenaan ditolak sebulat suara dengan kos oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria; Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin dan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Raus Md Raus.

Sejumlah 45 keluarga itu memohon kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 11 Mei lalu, yang memutuskan penduduk berkenaan sebagai penceroboh di kawasan penempatan berkenaan dan memerintahkan mereka mengosongkan tanah itu.

Responden, Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang Berhad, pemaju Nusmetro Venture (P) Sdn Bhd dan Pentadbir Tanah Daerah Timur Laut Pulau Pinang, berhujah permohonan semalam adalah pertindihan kepada permohonan kebenaran yang pertama dan melanggar proses mahkamah.

Arifin memutuskan persoalan yang penduduk berkenaan mahu Mahkamah Persekutuan menentukan sama ada mereka mempunyai locus standi (dari segi undang-undang) untuk memulakan prosiding terhadap koperasi dan pemaju, tidak boleh dibangkitkan di mahkamah tertinggi itu kerana isu itu tidak pernah dibangkitkan di mahkamah lebih rendah.

Mengenai isu geran tanah, Arifin berkata, Mahkamah Rayuan memutuskan pemberian hak milik kepada koperasi itu adalah betul dan mengikut undang-undang. � Bernama.

No comments: