Friday, August 21, 2009

Pas sangkal calon gelapkan RM600,000

Pas sangkal calon gelapkan RM600,000

Oleh Anwar Hussin dan Amin Ridzuan Ishak
bhnews@bharian.com.my



Mahfuz cabar lapor SPRM dakwaan seleweng peruntukan pilihan raya

BUKIT MERTAJAM: Pas mencabar pihak yang membuat tuduhan calonnya, Mohd Salleh Man, menggelapkan wang peruntukan pilihan raya sebanyak RM600,000 supaya membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar yang menyifatkan tuduhan itu tidak berasas, meminta pihak terbabit melaporkan kepada polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Kalau betul-betul ada bukti calon kita menggelapkan RM600,000, pergilah buat laporan dan bukan hanya berselindung di belakang blog seperti sekarang," katanya di sini, semalam.

Satu blog mendakwa Mohd Salleh yang juga Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang menggelapkan wang peruntukan pilihan raya kecil Permatang Pauh pada Ogos tahun lalu berjumlah RM600,000.

Dakwaan itu berdasarkan pendedahan Timbalan Pesuruhjaya I Pas Pulau Pinang, Dr Mujahid Yusof Rawa serta bekas Ketua Penerangan Pas negeri, Zulkifli Lazim.

Sementara itu, Mahfuz yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya Pas mengugut untuk mendedahkan satu lagi penyelewengan yang didakwa dilakukan Rohaizat, kononnya berkait rapat dengan bekas firma guamannya dan pengundi Permatang Pasir.

"Saya akan dedahkan hal ini dalam tempoh satu atau dua hari lagi.

"Sekarang terpulang kepadanya sama ada ingin berhenti buat tuduhan dan menarik diri daripada bertanding. Lebih baik beliau berundur sekarang bagi menjaga imejnya," katanya.

No comments: