Friday, August 21, 2009

Bekas rakan kongsi Rohaizat 'berkempen'

Bekas rakan kongsi Rohaizat 'berkempen'

BUKIT MERTAJAM: Bekas rakan kongsi calon Barisan Nasional (BN), Yusri Isahak, akan menggunakan pentas ceramah pembangkang untuk membersihkan dirinya kerana menganggap beliau dijadikan 'kambing hitam'.

Yusri berkata, beliau akan menemui kepemimpinan Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menggunakan pentas ceramah bagi memberi penjelasan mengenai isu itu bagi membersihkan dirinya.

Tanpa menafikan tuduhan penyelewengan itu, beliau tidak mahu dipersalahkan secara perseorangan.

"Saya ingin menyatakan perjalanan pentadbiran pejabat termasuk soal penggunaan cek dan kemasukan fail dilakukan secara bersama dengan Rohaizat Othman," katanya di sini, semalam.

Yusri mengulas dakwaan Rohaizat yang juga calon BN bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, yang beliau melakukan penyelewengan wang Koperasi Pekebun Getah Negeri Pulau Pinang (KPGNPP) pada 2002, sehingga Majlis Peguam mengambil tindakan membatalkan lesen guaman Rohaizat.

Yusri yang tidak lagi meneruskan amalan guaman selepas tidak memperbaharui lesen sejak 2004, mendakwa Rohaizat melakukan tuduhan terhadapnya kerana mahu mencapai impian menjadi calon BN dalam pilihan raya kecil itu.

No comments: