Oleh Saufi Hamzah, Jalal Ali Abdul Rahim dan Rafidah Mat Ruzki
bhnews@bharian.com.my
ANGGOTA polis sedang menjalankan siasatan kes serangan bom api di pejabat SPRM Cawangan Klang, semalam. |
Polis percaya serangan punyai kaitan siasatan kes profil tinggi
KUALA LUMPUR: Sebuah kenderaan pacuan empat roda Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Klang, rosak dibaling bom api pagi semalam dipercayai dilakukan samseng atau kongsi gelap yang mempunyai kaitan dengan ahli politik yang sedang disiasat SPRM.
Polis juga menyiasat kemungkinan serangan bom api itu ada kaitan dengan kes ugutan bunuh yang diterima Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, kira-kira sebulan lalu, berhubung kes kematian Teoh Beng Hock.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata ancaman terbaru terhadap SPRM itu mungkin bertujuan mahu menakut-nakutkan pegawai suruhanjaya berkenaan. "Kita kena lihat apa kaitan kedua-dua kes itu (serangan bom api dan ancaman bunuh ke atas Ahmad Said)," katanya kepada pemberita selepas menjadi panel Perhimpunan Khas dan Forum Sempena bulan Kemerdekaan Ke-52 anjuran Institut Pendidikan Guru (IPG) di Kampus Bahasa Antarabangsa di sini, semalam. Serangan ke atas kenderaan SPRM itu dipercayai berlaku antara jam 2 pagi hingga 3 pagi semalam, tetapi hanya disedari selepas kakitangan suruhanjaya berkenaan memulakan tugas, kira-kira jam 7.45 pagi. Nissan X-Trail itu diletakkan di tempat letak kereta berbumbung bertulis SPRM di bahagian belakang bangunan yang pernah menempatkan Pejabat Tanah dan Daerah Klang di Jalan Kota. Sebanyak enam bom api dibaling pada jarak kira-kira lima meter dari luar pagar bahagian belakang bangunan itu, tetapi hanya meletup beberapa sentimeter dari sisi kiri kenderaan berkenaan menyebabkan tayar depan serta bahagian tepi sebelah penumpang mempunyai kesan terbakar. Bagaimanapun, beberapa bom api itu tidak meletup dan sumbunya ditemui tersangkut pada pagar bangunan berkenaan yang turut menempatkan Pejabat Rela dan Jabatan Perhutanan Selangor. Pejabat SPRM Cawangan Klang yang terletak di tingkat dua, mula beroperasi di bangunan itu sejak dua bulan lalu tetapi majlis perasmiannya dikatakan ditangguhkan berikutan kontroversi berhubung kes Teoh yang ditemui mati selepas disoal siasat SPRM Selangor di Plaza Masalam, Shah Alam. Ismail bagaimanapun berkata, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan serangan bom api itu mempunyai kaitan dengan kes Teoh. "Saya minta semua pihak jangan cepat buat kesimpulan, mendengar berita tidak berasas dan cuba mengeruhkan keadaan termasuk menambah cerita," katanya. Ditanya sama ada kawalan ke atas bangunan SPRM akan dipertingkatkan, Ismail berkata, polis akan mengambil tindakan berdasarkan maklumat yang diterima dan bersedia berbuat demikian jika keadaan memerlukan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata serangan bom api itu yang pertama kali berlaku di bangunan itu, dipercayai mempunyai kaitan dengan kes profil tinggi membabitkan ahli politik yang sedang disiasat suruhanjaya itu. Pada 24 Julai lalu, Ahmad Said menerima ancaman melalui surat tulisan tangan yang dihantar ke Ibu Pejabat SPRM Selangor. Penulis surat itu menyalahkan Ahmad Said dan SPRM atas kematian Teoh serta mengugut untuk menembaknya selepas tidak berpuas hati kerana suruhanjaya berkenaan didakwa tidak bertindak terhadap pemimpin Barisan Nasional (BN) dan hanya menyiasat pemimpin DAP. Ahmad Said yang ditemui pemberita semalam, bagaimanapun menegaskan SPRM akan terus menjalankan tugas walaupun menghadapi tekanan akibat pelbagai tuduhan yang dilemparkan. "Namun, sebagai manusia, kalau benda (SPRM) tak buat (tetapi) dia tuduh kita buat, tuduh kita bunuh orang... pegawai muda kita tentu trauma apabila dituduh begitu," katanya. Di PUTRAJAYA, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata serangan bom api itu seolah-olah mengesahkan dakwaan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong dalam blognya sebelum ini bahawa ada Exco Selangor terbabit dengan kumpulan penjenayah. "Kerja pengecut memang kerja kongsi gelap. Kalau kita tiada kaitan dengan kongsi gelap, kalau kita disiasat, kita tak akan melakukan perkara seperti ini," katanya pada sidang media selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang SPRM 2009. Mohamed Nazri berkata, tindakan itu tidak akan berjaya menakutkan kakitangan SPRM kerana negara ini mempunyai undang-undang. "Kita akan menggunakan undang-undang, kita akan cari mereka. Polis, SPRM dan Pejabat Peguam Negara faham betapa pentingnya untuk kita menguatkuasakan undang-undang dan memastikan ia dipertahankan supaya negara tidak menjadi anarki sehingga orang tidak hormat undang-undang," katanya. Mengenai Pekeliling Kerajaan Selangor Bilangan 4 Tahun 2009, Mohamed Nazri berkata, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, kadang-kadang berasa dirinya masih pembangkang di negeri itu, pada hal beliau adalah ketua kerajaan yang turut bertanggungjawab menjaga SPRM untuk menyiasat aduan mengenai penyalahgunaan kuasa. "Berapa ramai orang BN kena (siasat), kita tak pernah kacau pun. Dia ingat dia (pembangkang) wakil rakyat, dia malaikat," katanya.
No comments:
Post a Comment