Friday, August 21, 2009

Ong tetap saman fitnah Tiong isu kredit RM10j

Ong tetap saman fitnah Tiong isu kredit RM10j

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat, tetap mengambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Demensi Sdn Berhad (KDSB), Datuk Seri Tiong King Sing yang didakwa memfitnah beliau berhubung dakwaan menerima pinjaman RM10 juta bagi kegiatan MCA.

Beliau tidak menyatakan bila tindakan itu akan diambil, namun mengulangi pendiriannya meneruskan tindakan bagi membersihkan nama baiknya.

“Saya tidak pernah lupa apa yang saya cakap sebelum ini, demi menebus maruah dan menangkis serangan fitnah yang tidak terhingga, saya tetap membawa kes ini ke mahkamah.

“Kalau buat tuduhan pun jangan sampai sedemikian rupa, sekejap menyebut wang itu pinjaman, sekejap sumbangan.

“Saya tidak pernah mengambil pinjaman.

“Jika saudara (wartawan) masih ingat pihak yang menabur fitnah ini sebenarnya sebelum ini sudah didakwa petugas Lembaga Pelabuhan Klang (LPK),” katanya selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Portman College Sdn Bhd yang mewakili City Of Sunderland College United Kingdom dan Technical Resource and Intership Network di sini, semalam.

Isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) tercetus apabila Tiong mendakwa Ong yang juga Presiden MCA menerima pinjaman RM10 juta daripadanya bagi kegiatan parti itu, sehingga turut mengaitkan Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun.

Namun, perkara itu dinafikan Ong yang kemudian membuat laporan polis dan akan menyaman Ahli Parlimen Bintulu itu jika tidak menarik balik kenyataan itu dalam tempoh tujuh hari.

Ong berkata, pasukan petugas khas LPK membuat laporan polis berhubung tuntutan palsu menjangkau RM1 bilion yang dibuat KDBS yang memberi implikasi kepada syarikat pemaju terbabit dan rakyat mesti mahu tahu integriti dakwaan itu terhadap dirinya.

No comments: