Friday, August 21, 2009

Gani mohon pekeliling SUK Selangor dibatalkan

Gani mohon pekeliling SUK Selangor dibatalkan

PUTRAJAYA: Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, semalam memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Shah Alam, bagi memohon pengisytiharan Pekeliling Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor Bilangan 4 Tahun 2009 berkenaan arahan menghadiri temu duga membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah tidak sah dan batal.

Ketua Unit Perhubungan Awam Jabatan Peguam Negara, Roslan Ahmad, berkata Peguam Negara juga memohon perintah yang difikirkan adil dan sesuai oleh mahkamah.

“Permohonan ini disokong afidavit yang diikrarkan Peguam Negara pada 20 Ogos 2009.

“Satu perakuan segera akan juga difailkan untuk mendapat tarikh awal pendengaran permohonan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Kerajaan Selangor menerusi pekeliling bertarikh 28 Julai lalu yang ditandatangani Setiausaha Kerajaan Negeri itu, Datuk Ramli Mahmud, meminta pegawai dan kakitangan kerajaan negeri tidak dibenar ditemuduga atau menjadi saksi pihak SPRM di luar pejabat masing-masing.

Kakitangan kerajaan negeri juga diingatkan proses temu duga SPRM mesti dilakukan di pejabat antara jam 8 pagi hingga 6.30 petang.

Selaras arahan itu, kerajaan Selangor juga menyediakan khidmat guaman kepada pegawai dan kakitangannya ketika temu duga membantu siasatan SPRM.

Arahan itu dikeluar berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 22 Julai lalu.

Ia membabitkan semua jabatan kerajaan negeri, badan berkanun negeri, pihak berkuasa tempatan negeri dan anak syarikat di bawah kerajaan negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, sebelum ini berkata, pekeliling itu menghalang SPRM melaksanakan tugas mereka.

No comments: