Friday, August 21, 2009

Muhyiddin nafi jual tanah Johor kepada Singapura

Muhyiddin nafi jual tanah Johor kepada Singapura

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman
wananwar@bharian.com.my

Dakwaan pembangkang buat rakyat benci kerajaan

BUKIT MERTAJAM: Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan pembangkang kononnya beliau pernah menjual tanah kepada Singapura ketika menjadi Menteri Besar Johor.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau kesal dengan dakwaan pembangkang itu semata-mata bagi membangkitkan perasaan benci rakyat kepada kerajaan.

"Saya jelaskan bahawa saya tidak pernah menjual walau seinci pun tanah di Johor kepada Singapura.

"Saya kesal pembangkang membuat tohmahan seperti itu yang saya percaya dibuat hanya ingin mewujudkan rasa benci rakyat terhadap kerajaan," katanya dalam ceramah Perdana di Tanjong Putus sempena pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir di sini, malam kelmarin.

Muhyiddin berkata, parti pembangkang membuat fitnah itu kerana mereka tidak tahu sejarah sebenar kewujudan loji pemprosesan air di Sungai Linggiu, Johor.

Oleh itu, beliau perlu menjelaskan perkara sebenar bagi mengelak rakyat keliru akibat fitnah yang dilakukan pembangkang.

Muhyiddin berkata, Kerajaan Malaysia perlu membina loji pemprosesan air berdasarkan perjanjian antara Johor dan Singapura pada 1961 hingga 1965.

Dalam hal ini, Muhyiddin berkata, Perdana Menteri ketika itu (Tun Dr Mahathir Mohamad) memanggilnya secara mengejut berikutan lawatan Perdana Menteri Singapura ketika itu, Lee Kuan Yew ke Kuala Lumpur untuk berbincang mengenai dua perkara iaitu saluran gas dan bekalan air.

Dalam pertemuan di antara Dr Mahathir, Tun Daim Zainuddin (Menteri Kewangan ketika itu), Lee dan beliau di Kuala Lumpur, Perdana Menteri Singapura mendesak mahukan bekalan air yang cukup dari Johor.

Katanya, Singapura menuntut Malaysia mengikut perjanjian itu kerana air yang dibekalkan kepada negara itu oleh Johor tidak mencukupi.

"Lee kata pada saya, kalau tidak bekalkan air atau hentikan bekalan air ke Singapura, kita akan berperang dengan Johor. Ini benar," katanya.

No comments: