Friday, August 21, 2009

'Abu Hassan tetap akan digugurkan'

'Abu Hassan tetap akan digugurkan'

Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar
ctfa@bharian.com.my




Adun Kota Seputeh gagal dua kali hadiri sidang tanpa kebenaran

ALOR SETAR: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail tetap mahu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Seputeh, Datuk Abu Hassan Sarif digugurkan daripada jawatannya kerana gagal menghadiri sidang DUN selama dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker.

Beliau berkata, mengikut peraturan 51 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah menyebut bahawa mana-mana ahli dewan yang tidak hadir pada sidang DUN dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, tempatnya hendaklah dikosongkan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan tiada ruang mengikut peruntukan undang-undang berkenaan yang membolehkan Abu Hassan mengemukakan sebarang rayuan atau pertimbangan mahupun berasaskan budi bicara.

"Sudah termaktub dalam peraturan 51 bahawa undang-undang ini begitu jelas dan tegas bahawa tiada ruang untuk budi bicara sekiranya seseorang Adun itu gagal hadir ke sidang DUN dua kali berturut-turut tanpa sebab.

"Malah, setiap ahli dewan diberi notis dalam masa 21 hari sebelum sidang DUN dijalankan maka tiada sebab mereka tidak hadir (sidang DUN) kecuali atas perkara yang tidak dapat dielakkan," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Abu Hassan berkata, beliau sudah memberi penjelasan kepada Badan Perhubungan Umno Negeri dan Dr Abdul Isa berhubung kegagalannya menghadiri sidang berkenaan pada 19 April dan 9 Ogos lalu.

Dr Abdul Isa berkata, pada sidang DUN 9 Ogos lalu, selain Abu Hassan, Adun Sungai Tiang, Suraya Yaakob juga tidak hadir sidang dewan tetapi diberi pelepasan selepas memaklumkan kepadanya lebih awal.

"Suraya ada memaklumkan kepada saya melalui surat bahawa beliau tidak dapat menghadiri sidang DUN kerana ada urusan di luar negara. Bagaimanapun, Abu Hassan tidak berbuat demikian pada kedua-dua (19 April dan 9 Ogos) sidang DUN lalu.

"Peliknya beliau memberitahu saya, beliau ada menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mahadzir Khalid untuk memaklumkan ketidakhadirannya pada hari sidang DUN berlangsung iaitu pada 9 Ogos lalu.

"Tidak munasabah... kenapa hantar pada Tok Det (Mahadzir), kenapa tidak hantar pada saya terus. Dia bukan orang baru dalam bidang ini dah masuk penggal yang keempat, dah veteran. Kalau saya tiada di pejabat dia boleh memaklumkan kepada pegawai saya," katanya.

Ketika ditanya sama ada Mahadzir ada memberitahu beliau mengenai SMS yang dihantar Abu Hassan itu, Dr Abdul Isa berkata:

"Tidak ada, sehingga hari ini pun beliau (Mahadzir) tidak memberi tahu saya apa-apa mengenai perkara itu," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata Abu Hassan masih lagi menyandang jawatannya selagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membuat sebarang keputusan mengenai kesalahannya tidak hadir dua kali berturut-turut ke sidang DUN pada 19 April dan 9 Ogos lalu.

Katanya, bagaimanapun Adun itu yang sudah empat penggal memegang jawatan itu mesti bertanggungjawab ke atas kesalahan yang dilakukannya itu bagi memberi contoh yang baik kepada Adun lain.

No comments: