Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
bhnews@bharian.com.my
Jabatan Audit turut nasihat elak keluar bon biayai projek
IPOH: Jabatan Audit Negara membuat teguran sejak 2004 bahawa Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh untuk membangunkan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) seluas 1,000 hektar secara sekali gus tetapi tidak diendahkan pengurusannya.
Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, berkata Jabatan Audit Negara juga berpendapat cadangan pemaju untuk mengeluarkan bon bagi membiayai kos PKFZ juga tidak bijaksana kerana kos pinjaman kerajaan lebih rendah.
"Secara keseluruhan, berapa anggaran kos? Kos meningkat kerana keputusan membangunkan tanah sekali gus, tidak mengikut fasa. Dari segi pembiayaan, syarikat mengeluarkan bon. Akhirnya, kos itu ditanggung kerajaan juga.
"Kos mengeluarkan bon lebih tinggi berbanding pinjaman kerajaan," katanya selepas majlis penyerahan kunci bangunan baru Jabatan Audit Perak di sini, semalam.
Ambrin berkata, pengurusan LPK juga enggan berunding dengan Kementerian Kewangan atau Unit Perancangan Ekonomi (EPU) selepas menerima teguran Jabatan Audit Negara.
Katanya, LPK sebagai badan berkanun perlu mengetahui had kuasanya dan perlu mengikut semua prosedur kerajaan jika mereka membelanjakan wang awam dalam jumlah besar.
"Untuk membuat PKFZ memerlukan perbelanjaan besar. Adakah LPK mampu? Kalau tidak mampu, apa langkah yang patut diambil?
"Hal ini patut dibincangkan dengan agensi pusat seperti Kementerian Kewangan dan EPU.
"Seperti yang dilaporkan dalam laporan audit PricewaterhouseCoopers, mengesahkan sejak 2004-an 2005, Jabatan Audit Negara sudah menarik perhatian bahawa LPK memang tidak mempunyai kemampuan untuk menjalankan projek ini," katanya.
No comments:
Post a Comment