Friday, August 21, 2009

Guan Eng tak berhak minta laporan SPRM

Guan Eng tak berhak minta laporan SPRM

Oleh Saufi Hamzah
sofeeham@bharian.com.my

Ketua Menteri bukan pemberi maklumat dalam kes Fairus Khairuddin

PUTRAJAYA: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, tidak berhak meminta maklumat dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dakwaan rasuah membabitkan bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Beliau juga berkata, Lim tidak pernah menjadi orang yang memberi maklumat dalam siasatan itu, bermakna Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga tidak ada hak langsung untuk meminta maklumat.

"Dia tak boleh minta, bukan Guan Eng yang patut mendapat maklumat. Selalu yang dapat maklumat adalah mereka yang memberi maklumat, dia (pemberi maklumat) kena minta sebab nak tahu apa sebenarnya hasil laporan dia.

"Guan Eng tak pernah jadi orang yang memberi maklumat, dia tak ada hak langsung (meminta maklumat)," katanya pada sidang media selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang SPRM 2009 di sini, semalam.

Mohamed Nazri diminta mengulas laporan akhbar kelmarin, bahawa SPRM membuka semula kertas siasatan dakwaan rasuah membabitkan Mohammad Fairus, selepas empat bulan menutupnya.

Pengarah SPRM Pulau Pinang, Latifah Md Yatim, berkata pihaknya membuka semula kertas siasatan kes itu Jun lalu kerana ada maklumat tambahan diberikan orang awam yang mampu menyokong siasatan.

Mohamed Nazri berkata, hasil siasatan yang dikumpul suruhanjaya itu bukan bertujuan memuaskan hati orang awam, sebaliknya untuk memerangi rasuah.

"Kita kena membenarkan SPRM dan memberikan segala bantuan untuk membuat siasatan tanpa terganggu, bukan kerana terpaksa beritahu orang awam. Ada undang-undang mengikut Akta SPRM dalam soal kerahsiaan.

"Kalau maklumat itu sampai pada waktu ini, adakah perlu SPRM nak kata jangan ambil lagi tindakan kerana pilihan raya, kita tak boleh begitu. SPRM mesti bertindak pada bila-bila masa, itu hak dia," katanya.

Mohamed Nazri berkata, SPRM tidak akan membuat siasatan hanya kerana pilihan raya kecil sedang berlangsung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang.

Katanya, SPRM tidak menjadikan pilihan raya kecil itu sebagai pertimbangan mereka kerana mereka bebas menjalankan tugas mengikut undang-undang.

No comments: