Saturday, May 16, 2009

Kayveas dakwa Murugiah cuba 'kuburkan' PPP

Kayveas dakwa Murugiah cuba 'kuburkan' PPP


KUALA LUMPUR: Krisis dalaman Parti Progresif Rakyat (PPP) terus memuncak apabila Presiden parti, Datuk M Kayveas semalam mendakwa Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T Murugiah cuba 'kuburkan' parti yang mempunyai keahlian hampir 500,000 orang itu.

Kayveas turut menafikan dakwaan segelintir pihak termasuk bekas ahli parti kononnya Pendaftar Pertubuhan (ROS) sudah mengeluarkan notis pembubaran bagi membatalkan pendaftaran PPP.

Sehubungan itu, beliau berkata PPP akan mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) hari ini, bagi menentukan kedudukan Murugiah dalam parti kerana sebelum ini beliau menangguhkan keputusan untuk memecatnya.

“Minggu lalu ahli MT PPP meminta saya memecat Murugiah tetapi saya menangguhkan keputusan... dengan harapan Murugiah akan bertemu saya dan berbincang segala permasalahan yang wujud... tetapi beliau sehingga kini tidak datang menemui saya,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Kelmarin, bekas ahli MT PPP, Dr N Shanmuganathan yang dipecat Kayveas mendakwa ROS sedang menunggu masa untuk membatalkan pendaftaran PPP kerana gagal menghantar laporan mesyuarat agung dan laporan kewangan parti sejak 2002.

Sementara itu, Pendaftar Pertubuhan, Datuk Md Alias Kalil memberitahu Berita Harian, pihaknya tidak mengeluarkan sebarang notis pembubaran untuk membatalkan pendaftaran PPP seperti didakwa segelintir pihak.

“Tiada notis dikeluarkan oleh pihak kami sehingga kini. Jika kita mahu mengeluarkan notis ini... ROS perlu meneliti pelbagai perkara dan akan memaklumkan kepada sesebuah parti itu sebelum berbuat demikian,” katanya.

No comments: