Saturday, May 16, 2009

Biar mahkamah buat penghakiman

Biar mahkamah buat penghakiman

PUTRAJAYA 15 Mei - Persoalan bahawa Barisan Nasional (BN) gentar menghadapi pilihan raya kecil bagi menyelesaikan kemelut politik di Perak sebenarnya tidak timbul, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Menurutnya, semua pihak perlu memberikan laluan kepada proses perundangan dan menyerahkan kepada pihak mahkamah membuat keputusan berhubung isu tersebut.

''Kita bukan gilakan kuasa tetapi memandangkan perkara tersebut masih dalam peringkat perundangan, biar mahkamah membuat penghakiman terlebih dahulu.

''Apabila proses undang-undang dijalankan secara teratur, jika mahkamah memutuskan bahawa ia harus dilakukan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) maka dewan harus digunakan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk beberapa pemimpin parti komponen BN menyarankan satu pilihan raya baru diadakan bagi menamatkan kemelut politik Perak yang berlarutan sejak Februari lalu.

Mohd. Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, desakan supaya diadakan pilihan raya boleh menyebabkan senario baru iaitu parti yang tidak mempunyai majoriti turut mahu memerintah.

''Kita kerap sangat mahu mengadakan pilihan raya selepas berlaku pilihan raya umum, sedangkan sistem menyatakan bahawa siapa yang mendapat majoriti mereka boleh memerintah negeri atau negara.

''Sebaliknya jika ada yang tidak dapat majoriti menuntut diadakan pilihan raya, mungkin negeri-negeri lain akan tuntut," katanya.

Menurutnya, apa yang penting sekarang ialah BN mahu memenuhi keperluan masyarakat termasuk memastikan urus tadbir kerajaan negeri berjalan lancar dan tidak diganggu gugat dengan kegiatan lain.

Beliau bersetuju dengan pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu kepentingan rakyat menjadi keutamaan dan memastikan adanya kestabilan politik khususnya di Perak.

No comments: