Saturday, May 16, 2009

Sivakumar saman Speaker DUN

Sivakumar saman Speaker DUN


IPOH: Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar memfailkan saman terhadap Speaker Datuk R Ganesan memohon perintah mahkamah menahan Ganesan, pekerja atau ejennya daripada menghalangnya menyandang atau menjalankan tugas sebagai Speaker DUN Perak secara sah.

Sivakumar sebagai plaintif turut menuntut perintah mahkamah menghalang sebarang usaha daripada defendan, pekerja dan ejennya untuk terus mendatangkan penderitaan, serangan atau kekerasan terhadapnya.

Plaintif juga menuntut ganti rugi serangan, penahanan salah serta ganti rugi teruk yang didakwa dialaminya ketika persidangan DUN pada 7 Mei lalu, selain kos atau bayaran lain yang dianggap sebagai adil dan saksama oleh mahkamah.

Writ saman itu difailkan peguamnya, Leong Cheok Keng dan Chan Kok Keong di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, kira-kira jam 11.45 pagi dan meminta defendan mengemukakan maklum balas dalam tempoh lapan hari daripada tarikh ia difailkan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Sivakumar berkata, beliau masih Adun Tronoh dan mendakwa masih Speaker DUN Perak, manakala defendan pula bukan Adun, maka kehadirannya pada persidangan itu adalah penghinaan terhadap DUN.

Sivakumar mendakwa kira-kira jam 2 petang pada 7 Mei lalu ketika sedang mempengerusikan mesyuarat DUN, beberapa pekerja atau ejen defendan menyerangnya dengan menangkap secara ganas, mengheret beliau daripada kerusi dan secara keras mengusir daripada dewan berkenaan.

Dakwanya, tindakan salah pekerja atau ejen itu adalah atas arahan defendan dan ketika ketiadaan plaintif, defendan secara salah menyandang jawatan Speaker dengan menduduki kerusi yang ditetapkan dan memakai pakaian rasmi Speaker.

Pada masa sama, plaintif mendakwa secara tidak sah di sisi undang-undang dikurung pekerja atau ejen defendan dalam sebuah bilik dalam bangunan Perak Darul Ridzuan selama lebih sejam sebelum dilepaskan.

Disebabkan perkara itu, plaintif mendakwa dihindari menjalankan tugas dan kewajipan sebagai Speaker yang sah serta mengalami kecederaan iaitu lebam di beberapa bahagian badan, kesakitan dan ketidakselesaan di seluruh badan, kekejutan, gelisah dan kesengsaraan mental serta kerosakan kepada sut dan jubah rasmi yang dipakai sebagai Speaker.





Sivakumar fail saman terhadap Speaker


IPOH 15 Mei - Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar hari ini memfailkan saman terhadap Speaker, Datuk R. Ganesan bagi menuntut ganti rugi berhubung kecederaan, kerosakan dan kerugian yang dialami akibat tindakan yang diambil terhadapnya semasa persidangan DUN pada 7 Mei lalu.

Dalam writ saman itu, Sivakumar juga memohon perintah injunksi bagi menghalang Ganesan, pekerja atau ejennya daripada menafikan hak beliau untuk memasuki persidangan DUN atau melarang serta menyekatnya dalam apa jua cara daripada memegang jawatan atau menjalankan tugas beliau sebagai Speaker DUN yang sah.

Turut dipohon ialah satu lagi perintah injunksi bagi menghalang sebarang penderitaan, serangan atau pemukulan yang seterusnya oleh Ganesan atau pekerja atau ejennya.

Writ saman tersebut yang menamakan Ganesan sebagai defendan difailkan melalui firma guaman, Tetuan Chan & Associates di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Dalam writ saman itu, Sivakumar selaku plaintif antara lain mendakwa mengalami lebam di bahagian badan, lengan dan kaki, selain kesakitan serta ketidakselesaan di seluruh badan.

Beliau juga mendakwa mengalami kekejutan gelisah, kesengsaraan mental dan kerosakan pada suit serta jubah rasmi Speaker yang dipakainya ketika kejadian.

Selain perintah injunksi, plaintif menuntut ganti rugi serangan dan serang sentuh, ganti rugi penahanan salah, ganti rugi teruk dan kos.

Dalam pernyataan tuntutannya, Sivakumar mendakwa, beliau masih Speaker DUN Perak yang sah manakala kehadiran Ganesan yang bukan seorang ADUN di sebarang sidang merupakan suatu penghinaan kepada DUN.

Plaintif mendakwa, kira-kira pukul 2 petang, 7 Mei lalu ketika beliau sedang mempengerusikan suatu mesyuarat DUN di Bangunan Perak Darul Ridzuan secara sah, pekerja atau ejen defendan telah menyerangnya dengan menangkap beliau dengan ganas, mengheret dan mengusir beliau dari dewan itu atas arahan defendan.

Plaintif mendakwa semasa ketidakhadiran beliau secara paksaan, defendan telah secara salah meletakkan dirinya sebagai Speaker yang menduduki kerusi Speaker dan memakai pakaian rasmi Speaker.

Sivakumar juga mendakwa beliau dikurung oleh pekerja atau ejen defendan secara tidak sah di sisi undang-undang di dalam sebuah bilik dalam bangunan tersebut selama lebih dari sejam sebelum beliau dibebaskan.

Berikutan itu, Sivakumar mendakwa, beliau telah dihalang daripada menjalankan tugas dan kewajipannya sebagai Speaker DUN yang sah dan telah mengalami kejutan, kesakitan dan kecederaan, kerugian dan kerosakan serta telah dilucutkan kebebasannya.

No comments: