Saturday, May 16, 2009

Kemelut politik boleh selesai cara baik: Zambry

Kemelut politik boleh selesai cara baik: Zambry
Oleh Shamsul Kamal Amarudin
bhnews@bharian.com.my


ZAMBRY ketika berinteraksi secara langsung dengan pengunjung laman
web New Straits Times (NST) Online kira-kira sejam dari pejabatnya, semalam.

Semua perlu faham peraturan prinsip demokrasi berperwakilan

IPOH: Kemelut politik Perak boleh diselesaikan secara baik sekiranya semua pihak memahami peraturan dan menghormati prinsip demokrasi berperwakilan, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

"Saya tidak faham kenapa kini timbul persoalan pilihan raya apabila Barisan Nasional (BN) berjaya menguasai kerajaan negeri dengan majoriti mudah, sedangkan BN tidak mempersoalkan faktor majoriti pakatan pembangkang ketika mereka membentuk kerajaan goyah di Perak selepas pilihan raya umum tahun lalu.

"Kita tidak seharusnya membenarkan pihak minoriti bermaharajalela (merujuk kepada pelbagai usaha Pakatan Rakyat untuk menjatuhkan BN sejak mengambil alih pentadbiran Februari lalu)

"... masalah dalam politik ialah kadangkala rakyat mudah terpengaruh dengan retorik," katanya ketika berinteraksi secara langsung dengan pengunjung laman web New Straits Times (NST) Online kira-kira sejam dari pejabatnya di sini, semalam.

Begitupun, Zambry yang juga Pengerusi BN Perak berkata, semua pihak termasuk BN perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk jika diadakan pilihan raya di negeri ini.

Bagaimanapun, beliau berpendapat sebelum pilihan raya boleh diadakan, segala kecelaruan dalam politik di negeri ini perlu ditangani dulu kerana pihaknya menyedari terlalu banyak salah faham dan salah persepsi terhadap apa yang sebenarnya berlaku di Perak.

Zambry berkata, beliau juga menerima banyak pandangan daripada pelbagai kelompok masyarakat yang tidak setuju diadakan pilihan raya bagi menyelesaikan krisis politik di negeri ini.

"Pandangan mereka bukan kerana ia hanya akan menambahkan lagi kekalutan dan menelan kos yang tinggi dalam keadaan ekonomi sekarang, tetapi berasakan ia tidak perlu kerana prinsip asas demokrasi berperwakilan iaitu pihak yang menguasai majoriti membentuk kerajaan negeri dan dalam hal Perak, BN menguasai majoriti.

"Semua orang mahu krisis politik Perak diselesaikan secepat mungkin. Saya sendiri tidak terkecuali. Tetapi, di sebalik segala keadaan sekarang, kami semua setuju bahawa persekitaran perniagaan yang baik mesti disediakan. Oleh itu, mari kita sama-sama mengekalkan persekitaran mesra perniagaan di negeri ini," katanya.

Zambry juga tidak menolak kemungkinan Sidang DUN tergempar diadakan dalam tempoh terdekat tetapi perlu jelas tujuan ia mahu diadakan.

No comments: