Saturday, May 16, 2009

Ketua Dewan Ulama Pas perjelas dakwaan rasuah

Ketua Dewan Ulama Pas perjelas dakwaan rasuah

Oleh Wan Faizal Ismayatim
wfaizal@bharian.com.my




Pemimpin dinasihat tak beri hadiah menjelang pemilihan parti

KOTA BHARU: Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Mohamed Daud, semalam mempertahankan dakwaannya berhubung berlaku gejala pemberian hadiah dan jamuan menjelang pemilihan parti pada Muktamar Tahunan Pas, bulan depan.

Beliau menegaskan, apa yang disebutnya pada Muktamar Dewan Ulama Pas Kelantan, Rabu lalu itu, bukan bertujuan membuat tuduhan terhadap mana-mana calon, sebaliknya sekadar menasihatkan perwakilan supaya menjauhi gejala tidak sihat itu.

"Saya diberitahu dan difahamkan ada yang buat kerja macam tu (memberi baju dan mengadakan jamuan kepada perwakilan), jadi saya cuma bagi nasihat dan tak tuduh sesiapa pun.

"Apa yang saya sebut itu sekadar nasihat dalam mesyuarat (muktamar) kepada ulama supaya jangan Pas jadi macam parti lain," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Rabu lalu, Mohamed dilaporkan mendedahkan situasi tidak sihat itu mula menular dalam Pas apabila ada pihak tertentu yang sanggup mengadakan jamuan serta memberi hadiah baju kepada perwakilan untuk tujuan melobi.

Kelmarin, beberapa pemimpin tertinggi Pas menyifatkan dakwaan itu sebagai amat serius dan mahu pemimpin yang didapati terbabit dalam gejala tidak sihat itu supaya dikenakan tindakan tegas kerana menjejas imej parti yang mendukung perjuangan Islam.

Ketua Penerangan Pas, Mahfuz Omar dilaporkan berkata, Jawatankuasa Disiplin parti itu akan memanggil Mohamed Daud dalam masa terdekat ini untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu.

Mohamed berkata, sehingga petang semalam beliau belum dihubungi oleh mana-mana pemimpin serta Jawatankuasa Disiplin parti berkenaan bagi memberikan penjelasan berhubung dakwaannya itu.






Mohamed tiada hasrat dedah nama


KOTA BHARU 15 Mei – Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Mohamed Daud Iraqi tidak berhasrat mendedahkan mereka yang dikaitkan dengan permainan politik kotor dalam usaha melobi jawatan.

Menurut beliau, apa yang dinyatakan sebelum ini adalah secara umum tentang wujud keadaan seumpama itu berdasarkan gambaran yang diberikan oleh rakan-rakan menjelang pemilihan dalam parti.

‘‘Saya cuma dimaklumkan oleh rakan-rakan bahawa perkara ini timbul, sebab itu saya nasihatkan kepada ulama jangan buat. Kalau betul ada, hentikanlah. Yang penting sekarang jangan buat benda ini. Ini bukan budaya Pas.

‘‘Saya tidak mahu tuduh menuduh,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Majlis Syura Pas, Ahmad Awang hari ini yang meminta Mohamed membuktikan kesahihan dakwaannya itu.

Ahmad menyifatkan perkara itu sebagai amat serius dan boleh menjadi fitnah kepada parti sekiranya tidak dapat dibuktikan.

Kenyataan Ahmad merujuk kepada ucapan Mohamed ketika berucap merasmikan Muktamar Dewan Ulama Pas negeri di Markas Dewan Ulama (MADU), Machang di sini kelmarin.

Utusan Malaysia melaporkan Mohamed sebagai berkata, berlaku aktiviti memberi hadiah dan menjamu makanan kepada perwakilan oleh beberapa individu dalam Pas sebagai salah satu cara untuk melobi.

No comments: