Saturday, May 16, 2009

Malang jika rasuah berlaku dalam Pas

Malang jika rasuah berlaku dalam Pas

ALOR SETAR 15 Mei - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, adalah sesuatu yang malang sekiranya berlaku amalan rasuah di kalangan perwakilan Pas menjelang pemilihan parti itu tidak lama lagi.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah bagaimanapun yakin gejala itu tidak berlaku dan mahu dakwaan terbabit dibuktikan, jika benar ada individu memberikan rasuah kepada perwakilan untuk mendapatkan sokongan.

"Saya tidak tahu mengenai perkara ini dan orang boleh kata macam-macam namun kita tak boleh tuduh sahaja.

"Buktikan siapa, bila dan di mana perkara tersebut berlaku," ujarnya selepas merasmikan Pesta Thai 2009 di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Mohamed Daud Iraqi yang mendedahkan bahawa perebutan kuasa dalam Pas semakin ketara sehingga ada individu sanggup memberikan 'hadiah' kepada perwakilan untuk mendapatkan sokongan.

Mohamed memberitahu, terdapat sesetengah calon yang telah membuat jamuan dan memberi baju kepada perwakilan untuk melobi supaya memenangi jawatan yang bakal ditandingi.

Menurut Azizan, amalan memberi sedekah di dalam Pas mungkin sudah disalah anggap sebagai memberi rasuah untuk melobi jawatan.

"Kita ini orang Pas suka bagi sedekah. Pergi kenduri, tengok orang meninggal dunia pun kita bagi sedekah.

"Mungkin individu yang dikatakan telah memberi sedekah tersebut disalah anggap sebagai memberi rasuah," ujarnya.

Azizan menambah, disebabkan itu dia tidak mahu memberi sedekah sehingga Jun ini kerana bimbang disalah tafsir sebagai rasuah.

"Kalau sesiapa mahu minta derma daripada saya, minta selepas Jun ini.

"Saya bimbang nanti orang kata saya beri rasuah pula walaupun saya hanya memberi sedekah," katanya.

Menurut Azizan, perwakilan Pas akan memilih mereka yang layak untuk menjadi pemimpin di dalam parti dan tidak perlu memberi rasuah untuk menjadi pemimpin.

"Kalau kita layak orang akan pilih kita, tak perlu bagi rasuah.

"Penat sebenarnya kalau kita nak jadi pemimpin tertinggi dalam parti sebab nak tidur malam pun susah," katanya.

No comments: