Pemimpin beri reaksi berbeza
Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
syahrir.bakar@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 15 Mei - Beberapa pemimpin UMNO dan pembangkang memberi reaksi berbeza terhadap cadangan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak bersidang bagi menyelesaikan krisis pemerintahan di negeri itu.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Bung Mokhtar Radin berkata, cadangan bekas Perdana Menteri itu amat bernas kerana proses pilihan raya bukan sahaja membazir, tetapi ia juga mengambil masa yang lama.
"Selain itu, demokrasi bukan sahaja ditentukan melalui pilihan raya tetapi ia juga dicapai melalui sidang DUN di Perak.
"Tetapi saya faham, pembangkang tidak akan bersetuju dengan sidang DUN kerana mereka mempunyai jumlah kerusi yang sama dengan Barisan Nasional (BN) dan mereka takut kalah kerana tiga ADUN bebas telah menyatakan sokongan kepada BN," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas saranan Dr. Mahathir semalam agar kemelut politik di Perak diselesaikan melalui usul undi tidak percaya pada sidang DUN.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin merayu pemimpin pakatan pembangkang agar bersetuju menyertai sidang DUN Perak kerana ia merupakan cara terbaik demi kepentingan rakyat negeri tersebut.
''Bukankah DUN ada, buat apa perlu pilihan raya?
''Kita juga perlu melakukan usaha ini (sidang DUN), di samping meneruskan proses perundangan dan kehakiman di mahkamah," jelasnya.
Dalam hal sama, Setiausaha Agung Pas, Datuk Kamaruddin Jaafar menegaskan, kenyataan Dr. Mahathir mencerminkan bekas Perdana Menteri itu tidak mempunyai pendirian tetap terhadap isu di Perak.
''Kenyataannya melambangkan beliau risau BN kalah jika terpaksa menghadapi pilihan raya," ujarnya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment