Laporan dari Menado, Indonesia Ahmad Zaini Kamaruzzaman
Najib dan Presiden Timor Leste, Jose Ramos Horta, menandatangani
perjanjian Inisiatif Segitiga Batu Karang di Manado, semalam.
Sultan tidak harus dipersalahkan dalam kemelut politik negeri Perak: Najib
DATUK Seri Najib Razak semalam menegaskan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah tidak harus dipersalahkan dalam kemelut politik di negeri itu kerana pelantikan Menteri Besar dilakukan mengikut amalan demokrasi dan undang-undang.
Perdana Menteri berkata, beliau juga tidak harus dipersalahkan ekoran kemelut politik yang berlarutan sejak lebih tiga bulan itu.
Beliau berkata, dalam amalan demokrasi, rakyat akan memilih wakil rakyat dan Sultan pula melantik Menteri Besar daripada kalangan calon yang mewakili parti yang mendapat majoriti terbesar di Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Sultan Perak menggunakan prosedur yang sama ketika melantik Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dari Barisan Nasional (BN) sebagai Menteri Besar seperti juga ketika baginda melantik Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dari Pas.
"Jangan lupa... pada Pilihan Raya Umum 2008, BN adalah parti tunggal yang mendapat majoriti DUN dengan 28 kerusi... parti pakatan tidak berdaftar dan tiga parti berasingan. Pada masa itu, kalau Tuanku nak lantik Tan Sri Tajol Rosli Ghazali pun Tuanku ada hak kerana BN adalah parti tunggal yang mendapat majoriti terbesar.
"(Tetapi) Tuanku atas semangat demokrasi berasaskan ketetapan yang dibuat oleh wakil rakyat tiga parti pembangkang... Tuanku dapatkan surat pengakuan mereka, maka Tuanku pilih Nizar sebagai Menteri Besar," katanya pada sidang media selepas menghadiri Sidang Kemuncak Inisiatif Segitiga Terumbu Karang (CTI) di sini.
Najib berkata, kini pembangkang sudah hilang majoriti di DUN dan Sultan Azlan Shah melantik Dr Zambry yang dicadangkan oleh BN, menggunakan kaedah yang sama dan berasaskan prinsip yang sah tanpa melanggar sistem demokrasi serta Perlembagaan.
"Ia berlaku melalui proses yang selaras dengan Undang-undang Tubuh Negeri Perak dan sistem demokrasi berparlimen. Ini mesti diterangkan dan sebab itu saya kata pilihan raya adalah satu opsyen dan budi bicara... bukan semestinya," katanya.
Perdana Menteri berkata, jika semua pihak menerima bagaimana proses itu dilaksanakan, kerajaan yang ada sekarang boleh mentadbir Perak kerana BN mendapat majoriti mencukupi.
"Yang menjadi masalah, dia (pembangkang) tidak terima dan menyusahkan proses ini berjalan seperti yang dilakukannya dalam DUN. Siapa suruh gantung MB dan Exco BN. Ini bertentangan dengan semangat demokrasi berparlimen.
"Macam kita (BN) ada majoriti di Parlimen... kita boleh gantung 20 Ahli Parlimen pembangkang kalau kita mahu. Kalau prinsip sama (amalan pembangkang) kita ada kuasa... budi bicara, kita buatlah sesuka hati kita.
"(Namun) Pembangkang pertikaikan pelantikan Dr Zambry dan bawa ke mahkamah. Kita bawa ke mahkamah bila dia gantung Adun. Masuk akal ke dalam sistem demokrasi, bila ada majoriti, Speaker boleh gantung enam orang. Jika begitu kita pun boleh gantung enam orang," katanya.
Perdana Menteri juga menafikan dakwaan kononnya beliau menjadi punca kemelut politik di Perak.
Najib menegaskan BN tidak merampas kuasa di Perak kerana peralihan kerajaan dilakukan mengikut peraturan serta undang-undang.
"Dia (Mohammad Nizar) sudah hilang kepercayaan. Tiga Adun (pembangkang) hilang kepercayaan kepada kerajaan Pakatan Rakyat. Saya tidak bertanggungjawab," katanya.
Mengenai tindakan melompat parti, Perdana Menteri berkata, ia dibenarkan oleh undang-undang dan berlaku di negara lain seperti bekas Perdana Menteri Britain, Sir Winston Churchill pernah beberapa kali bertukar parti dan baru-baru ini seorang Senator dari parti Republikan di Amerika Syarikat beralih kepada parti Demokrat.
"Jangan lupa pada 16 September lalu siapa yang cuba curi 31 Ahli Parlimen kita. Dia (Pakatan Rakyat) lakukan perkara sama, tetapi apabila gagal dan kita berjaya di Perak, kita pula yang dikatakan tidak demokratik. Kita pula dituduh rampas kuasa," katanya.
Ditanya mengenai kesediaan Pakatan Rakyat untuk menemuinya bagi menyelesaikan kemelut politik di Perak, Najib berkata: "Kalau ada permohonan dan tiada syarat tak apa. Kalau setakat nak bincang... kita boleh bincang, tidak ada masalah.
"Saya sedia bertemu tapi jangan ada syarat. Nanti kita tetap tarikh dan masa yang sesuai... kena tengok jadual yang sesuai," katanya.
Sultan Perak bukan punca kemelut politik - Najib
MANADO, Sulawesi Utara 15 Mei - Sultan Perak, Sultan Azlan Shah tidak harus dipersalahkan berhubung krisis politik di Perak dan baginda juga bukan punca kemelut politik di negeri itu.
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Sultan Azlan memutuskan pelantikan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar setelah mengambil kira Barisan Nasional (BN) negeri itu memperoleh majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
Keputusan itu, kata Perdana Menteri, dibuat selepas menilai surat perakuan majoriti anggota DUN yang menyatakan sokongan kepada BN.
''Mengikut sistem demokrasi di negara ini, rakyat memilih wakil rakyat dan sultan di negeri-negeri akan melantik calon yang mewakili parti yang mendapat majoriti dalam DUN untuk menjadi Menteri Besar,'' katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sidang Kemuncak Inisiatif Segi Tiga Terumbu Karang, di sini hari ini.
Najib mengulas kritikan-kritikan pembangkang yang menyalahkan Sultan Perak berikutan krisis politik di negeri itu serta menuduh baginda menjadi punca kepada kemelut politik di Perak yang kini sudah berlarutan lebih tiga bulan.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri mengingatkan semua pihak bahawa Sultan Azlan menggunakan prosedur yang sama melantik Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar, selepas pakatan pembangkang memenangi majoriti kerusi pada pilihan raya umum 2008.
''Jadi jangan salahkan Tuanku. Baginda (Sultan Perak) menggunakan kaedah dan prinsip yang sama ketika melantik Zambry sebagai Menteri Besar yang baru dan tindakan Tuanku (Sultan Perak) itu tidak boleh dianggap melanggar Perlembagaan,'' katanya.
Beliau berkata, ketika pakatan pembangkang menang majoriti kerusi DUN Perak selepas pilihan raya umum lalu, ia pun bukanlah gabungan parti yang berdaftar.
Atas kedudukan itu, sekiranya Sultan Perak hendak melantik semula Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali sebagai Menteri Besar, beliau boleh berbuat demikian kerana BN adalah parti tunggal berdaftar yang mendapat majoriti kerusi di DUN Perak pada masa itu.
'' Tetapi atas semangat demokrasi berasaskan ketetapan yang dibuat oleh wakil rakyat daripada tiga parti pembangkang di negeri itu (Perak), Tuanku sebaliknya mendapatkan surat perakuan mereka dan melantik Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar," katanya.
Perdana Menteri juga menegaskan pelantikan Zambry melalui proses yang selaras dengan Undang-undang Tubuh Negeri Perak serta sistem demokrasi di negara ini.
''Yang menjadi masalah, dia (pembangkang) tidak terima dan menyusahkan proses ini berjalan, seperti yang mereka lakukan di DUN Perak sekarang. Siapa suruh gantung Menteri Besar dan Exco BN daripada menghadiri Dewan Undangan Negeri Perak.
''Ini bertentangan dengan semangat demokrasi berparlimen," katanya.
Perdana Menteri berkata, tindakan sedemikian juga boleh diumpamakan seperti BN yang mempunyai majoriti kerusi di Parlimen bertindak menggantung 20 anggota Parlimen pembangkang jika BN mahu.
'' Masuk akal ke dalam sistem demokrasi, bila sesebuah parti mempunyai majoriti, Speaker boleh gantung enam anggota parti itu. Jika begitulah keadaannya, kita (BN) pun boleh gantung enam orang anggota mereka (pembangkang) di Parlimen," tambah beliau.
Najib juga menafikan beliau menjadi punca kemelut politik di Perak dan harus bertanggungjawab atas tindakannya kerana terbabit 'merampas kuasa' kerajaan negeri Perak pada awal Februari lalu.
''Apabila tiga anggota DUN pembangkang sudah hilang kepercayaan terhadap kerajaan pakatan pembangkang dan menyokong BN, sehingga dia (Mohammad Nizar) turut hilang kepercayaan. Sayakah yang bertanggungjawab?'' tanya beliau.
Perdana Menteri turut mengulas mengenai lompat parti, sambil menjelaskan bahawa ia dibenarkan oleh undang-undang dan ia pernah berlaku di negara lain, termasuk di negara maju.
Menurutnya, bekas Perdana Menteri Britain, Sir Winston Churchill pernah beberapa kali berpindah parti dan baru-baru ini seorang senator daripada Parti Republikan di Amerika Syarikat berpindah ke Parti Demokrat.
Beliau menjelaskan bahawa BN tidak merampas kuasa kerajaan negeri di Perak kerana peralihan kerajaan dilakukan mengikut peraturan serta undang-undang.
No comments:
Post a Comment