|
|
BUKIT MERTAJAM 15 Mei - Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin membidas para pemimpin pakatan pembangkang yang sentiasa mengamalkan sikap dwi-standard dan mentafsirkan demokrasi semata-mata untuk memihak kepada kepentingan politik mereka.
Beliau turut menyelar pemimpin pembangkang yang memperlekehkan sistem demokrasi dengan memandang demokrasi seperti hotel iaitu mudah mendaftar masuk dan keluar pada bila-bila masa.
"Saya minta pembangkang hentikan sikap dwi-standard ini. Apa yang mereka lakukan, dibolehkan. Misalnya calon Bebas sokong BN (Barisan Nasional) itu salah, jika ahli mereka lompat parti masuk BN, itu haram tetapi jika melompat kepada mereka, itu tidak salah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di sini hari ini.
Sehubungan itu, Khairy meminta pemimpin pakatan pembangkang supaya menghentikan politiking yang keterlaluan.
Katanya, pembangkang harus menamatkan politiking yang mengheret sama rakyat ke dalam masalah dalaman mereka.
Menurut beliau, ini termasuk dalam mencari calon untuk mengisi jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang yang dikosongkan oleh penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin sebelum ini.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau memberitahu, rakyat sudah bosan dengan politiking pembangkang.
"Sikap itu mencabuli demokrasi, tidak sepatutnya diadakan pilihan raya kecil (DUN Penanti) kecuali atas sebab wakil rakyat berkenaan meninggal dunia, muflis atau menghadapi tindakan undang-undang," katanya.
No comments:
Post a Comment