Saturday, May 16, 2009

'Saya sedia jumpa pakatan pembangkang'

'Saya sedia jumpa pakatan pembangkang'

MANADO, Sulawesi Utara 15 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau bersedia mengadakan pertemuan dengan pemimpin pakatan pembangkang bagi membincangkan kemelut politik negeri Perak

Perdana Menteri bagaimanapun mengulangi pendiriannya bahawa pembangkang tidak harus menetapkan sebarang syarat bagi mengadakan pertemuan tersebut.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, beliau akan menetapkan masa yang sesuai sekiranya pembangkang mengemukakan permohonan untuk mengadakan pertemuan seperti yang dilaporkan.

''Saya bersedia untuk bertemu mereka.

''Nantilah, kita tetapkan masa yang sesuai (untuk bertemu pembangkang)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sidang Kemuncak Inisiatif Segi Tiga Terumbu Karang (CTI), di sini hari ini.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas kesediaan pakatan pembangkang untuk mengadakan pertemuan dengan BN bagi mengukuhkan demokrasi dan institusi kerajaan ke arah mencari penyelesaian kepada kemelut politik di Perak.

''Saya hendak tengok dulu, kalau ada permohonan (pembangkang)... tapi tanpa ada sebarang syarat," tambah beliau.

Beliau juga berkata, sebelum pertemuan itu berlangsung, Barisan Nasional (BN) juga perlu memastikan siapa dan jumlah pemimpin pembangkang yang akan menghadiri pertemuan berkenaan.

Najib juga ditanya mengenai kenyataan pemimpin pembangkang bahawa mereka tidak menetapkan syarat bagi mengadakan pertemuan itu.

Katanya, walaupun pembangkang tidak menetapkan syarat, tapi BN tahu bila bercakap di luar, pembangkang menetapkan supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan sebagai jalan menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.

''Walaupun kata tidak bersyarat tapi kita tahu apa dia (pembangkang) cakap di luar," katanya.

Najib merujuk kepada kenyataan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin yang mengulangi pendirian pembangkang bahawa BN harus mengembalikan semula mandat kepada rakyat di negeri Perak untuk menentukan kerajaan yang baru.

''Saya tak menolak (saranan Anwar) ... kalau nak jumpa boleh, tetapi tidak semestinya bubar DUN sebagai syarat, katanya.

Ketika ditanya saranan banyak pihak bahawa Najib sebagai Pengerusi BN boleh menasihati Sultan Perak, Sultan Azlah Shah supaya membubarkan DUN, Perdana Menteri menegaskan bahawa ia adalah hak sultan.

Sambil mengulas lebih lanjut kenyataan Anwar itu, Perdana Menteri berkata, saranan tersebut hanyalah satu opsyen dan tidak berbuat demikian juga merupakan opsyen yang lain.

No comments: