Saturday, May 16, 2009

Nasrudin terima 11 pencalonan

Nasrudin terima 11 pencalonan

KUALA LUMPUR 15 Mei – Calon pro-ulama, Nasrudin Hassan Tantawi mendahului dengan selesa senarai pencalonan jawatan Ketua Pemuda Pas apabila menerima sokongan daripada 11 negeri.

Nasrudin yang merupakan Timbalan Ketua Pemuda Pas menerima pencalonan daripada Pemuda Perlis, Kedah, Pahang, Selangor, Terengganu, Johor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sarawak, Perak dan Negeri Sembilan.

Sementara itu, pencabar terdekat beliau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelaboran yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Mohamad Zaki Ibrahim hanya mendapat dua pencalonan, masing-masing dari Kelantan dan Melaka.

Seorang lagi calon iaitu Ketua Pemuda Pas Selangor, Salehen Mukhyi pula sekadar mendapat satu pencalonan daripada Pemuda Sabah.

Nasrudin sewaktu dihubungi Utusan Malaysia hari ini mengucapkan terima kasih kepada Pemuda Pas negeri yang telah mencalonkan beliau.

Bagaimanapun katanya, isu sama ada akan berlaku pertandingan merebut jawatan berkenaan akan diputuskan dalam mesyuarat bulanan Pemuda Pas pada 24 Mei ini.

Katanya, jika kata sepakat berjaya dicapai, jawatan itu akan diserahkan kepada calon yang lebih layak melalui kaedah musyawarah.

No comments: