Monday, October 22, 2007

PM mahu parti komponen jangan tekan BN

Oleh Norfatimah Ahmad

KUALA LUMPUR: Semua parti komponen Barisan Nasional (BN) semalam sekali lagi diingatkan supaya tidak mengenakan tekanan ketika membuat sebarang tuntutan bagi menjamin keutuhan serta keharmonian gabungan itu.

Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata anggota komponen perlu sepakat dan sentiasa berbincang bagi menyelesaikan sesuatu isu tuntutan serta mengelak sebarang bentuk tekanan yang boleh menjurus kepada pertelagahan.

Beliau berkata, isu seperti pengagihan kerusi pada pilihan raya umum akan datang yang kini hangat diperkatakan sesetengah parti komponen BN, perlu dibincang secara baik bagi mengelak ia menimbulkan persepsi negatif.


"Kita bersaudara, sudah tentu boleh berpakat dan duduk berbincang. Orang tidak suka tengok saudara bertengkar sesama sendiri... tidak elok, nanti ada yang kata famili itu tidak stabil.

"Orang yang menentang dan membangkang kita tentu hendak lihat kita berpecah belah tetapi kita tidak mahu perkara itu berlaku dan jangan sampai orang lihat kita seperti tidak bersefahaman atau bersatu pendapat," katanya berucap merasmikan Perhimpunan Agung Parti Progresif Penduduk (PPP) di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, semalam. Hadir sama ialah Presiden PPP, Datuk M Kayveas.

PPP sebelum ini meminta supaya parti itu diperuntukkan sekurang-kurangnya satu kerusi di setiap negeri pada pilihan raya umum akan datang. PPP yang mempunyai 530,222 anggota, pernah memenangi empat kerusi Parlimen dan 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sebelum menyertai BN pada 1972.

Sebanyak 15 cadangan usul dibentangkan pada perhimpunan semalam, termasuk menyerap wakil PPP dalam sistem pentadbiran negeri dan negara, rancangan rumah milik sendiri untuk pekerja ladang, kawalan pekerja asing dan menghapuskan kadar faedah skim Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Dalam ucapannya, Abdullah berkali-kali mengulangi perkataan muafakat dan kerjasama yang disifatkannya sebagai amat penting untuk menjamin keutuhan parti bagi membentuk sebuah kerajaan yang mengutamakan kemajuan rakyat serta negara.

Beliau berkata, adalah penting semua kepemimpinan BN untuk berusaha ke arah mencapai satu matlamat menerusi permuafakatan dan kerjasama serta mengelak daripada memberi tekanan kepada parti.

"Sebarang perancangan pembangunan yang dirangka kerajaan BN bukan sekadar gimik politik, sebaliknya ia hasil perbincangan rapi di semua peringkat termasuk Parlimen.

"Jika timbul sebarang masalah pelaksanaan, kita akan pastikan ia ditangani. Kita mahu pentadbiran berjalan sebaik-baiknya dan tiada birokrasi manakala sebarang halangan yang boleh melambatkan kerja atau pelaksanaan harus diketepikan," katanya.

Abdullah berkata, kerajaan menubuhkan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) yang merangkumi wakil dari sektor awam dan swasta untuk berbincang dan mengemukakan cadangan bagi memperbaiki sistem penyampaian di semua peringkat.

Katanya, usaha memperbaiki sistem penyampaian yang dibuat secara menyeluruh tanpa mengira sama ada ia membabitkan kerajaan tempatan, jabatan, agensi kerajaan atau separa kerajaan perlu diteruskan.

"Kita mahu pastikan tiada yang boleh buat pilihan untuk tidur dan tidak mahu lagi bekerja, kerana semua mesti segar, sihat serta bersedia kerja selain berjuang untuk masa depan kita bersama," katanya.

Mengenai isu permintaan tambahan kerusi untuk wakil PPP dalam pilihan raya umum akan datang, Abdullah berkata, BN bersedia untuk menimbangkan perkara itu jika ia dibuat menerusi saluran yang betul.

"Tadi Kayveas ada cakap pasal pertambahan kerusi. Dia kata surat dah dihantar kepada Jawatankuasa Pengurusan BN dan kalau dah dihantar, kita akan timbangkan perkara itu kerana itulah cara kita," katanya.

No comments: