Monday, October 22, 2007

UMNO tumpu perjuangan 50 tahun akan datang

Oleh: WAN SYAMSUL AMLY WAN SEADEY

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Perhimpunan Agung UMNO tahun ini akan lebih bertumpu kepada hala tuju perjuangan parti 50 tahun akan datang setelah mengecapi kejayaan besar pada setengah abad pertama kemerdekaan negara.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhamad Taib berkata, perhimpunan tahun ini dianggap bersejarah kerana akan menjadi rujukan kejayaan masa lampau dengan usaha parti untuk mengekalkannya.

“Kali ini semua hasil kebanggaan negara akan dinilai selain meningkatkan semangat keharmonian pelbagai kaum yang kita amalkan selama ini.

“Segala kekurangan perlu ditampung malah kita akan tutup semua kelemahan yang mungkin ada dengan pelbagai rancangan untuk kemajuan negara,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Perhimpunan Agung UMNO tahun ini akan diadakan pada 5 hingga 9 November ini.

Tambah beliau, beberapa usul mengenai kejayaan negara akan dibentangkan sebagai bukti kedudukan Malaysia yang berada lebih ke depan berbanding negara jiran lain.

“Setiap usul perwakilan nanti perlu menonjolkan apa juga kelebihan sekaligus dapat menutup mulut negara lain yang selama ini memperkecilkan kemampuan kita.

Ketika ditanya tentang keistimewaan perhimpunan agung kali ini berbanding tahun-tahun sebelumnya, Muhammad memberitahu, ia lebih bertumpu ke arah kehidupan di negara maju.

“Kita menuju ke arah satu fasa baru negara. Perhimpunan Agung UMNO nanti akan lebih menjurus ke arah kehidupan dan persediaan menjadi sebuah negara maju,” jelasnya.

No comments: