Monday, October 22, 2007

Khairy tegur PPP cuba cetus sentimen

REMBAU: Timbalan Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin mengingatkan pemimpin Parti Progresif Penduduk (PPP) supaya berdisiplin dan tidak menggunakan forum terbuka untuk mencari populariti dengan memainkan isu yang dilihat memperlekehkan parti komponen lain serta BN.

"Saya rasa dalam suasana kita nak hadapi pilihan raya, amat penting setiap parti komponen mengamalkan disiplin dalam BN... disiplin bermakna kita jangan tuntut sesuatu yang keterlaluan," katanya.

Naib Ketua Pemuda Umno itu juga tidak bersetuju dengan parti komponen yang membuat tuntutan secara terbuka seperti PPP kerana ia sebenarnya boleh dibawa ke mesyuarat Exco Pemuda atau Dewan Tertinggi BN.


"PPP nampaknya seolah-olah ingin bergaduh dengan parti komponen lain. Kita ada saluran... jangan perang mulut dalam surat khabar atau perhimpunan agung kerana ia tak akan bawa kebaikan kepada BN," katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pemuda Umno Bahagian Rembau dan Umno Cawangan Kampung Gadong, di Balai Raya Kampung Gadong, dekat sini semalam.

Kelmarin, Ketua Pemuda PPP, T Murugiah, ketika berucap pada Konvensyen Pemuda parti itu di Kuala Lumpur mendakwa BN tidak menjadi sahabat yang baik dan setia kepada PPP yang membuat pengorbanan besar demi perpaduan dan kepentingan negara ketika menyertai BN pada 1972.

Murugiah mendakwa, PPP kini dianaktirikan dan semakin dilupai dan menyifatkan BN tidak jujur kerana enggan menunaikan janji dan memenuhi permintaan parti itu yang membabitkan pembahagian beberapa kerusi pilihan raya yang kini diambil oleh parti komponen lain.


Khairy berkata, beliau menghormati PPP sebagai komponen BN, tetapi parti itu perlu melihat realiti kekuatannya pada masa kini serta cara mengetengahkan parti berkenaan.

"Bukan kita lupa sejarah, tapi kita kena ikut perkembangan baru dan terkini... kena tengok pengaruh parti itu sendiri yang akan beri kesan secara langsung dalam proses pengagihan kerusi," katanya.

Beliau berkata pengagihan kerusi pilihan raya adalah keputusan permuafakatan pada peringkat pemimpin atasan, di antara Pengerusi BN merangkap Perdana Menteri dan pemimpin parti komponen, bukan untuk komponen membuat tuntutan.

"Saya rasa PPP harus bersyukur dan berterima kasih kepada Pengerusi BN kerana pada pilihan raya lalu, pemimpin mereka diberikan kerusi Parlimen. Itu adalah pengiktirafan bahawa pengaruh PPP sedang berkembang sebagai parti politik... jangan cuba berlari atau jalan sebelum merangkak.

"PPP kini masih dalam proses bina semula... jangan ingat kita boleh kembali ke era kegemilangan PPP zaman 1960-an atau 1970-an ketika mereka sedang kuasai begitu banyak kerusi Parlimen dan DUN di beberapa negeri," katany

No comments: