Monday, October 22, 2007

UMNO Terengganu buat laporan polis terhadap Mustafa Ali

KUALA TERENGGANU 21 Okt. – UMNO Terengganu hari ini membuat laporan polis terhadap Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Mustafa Ali kerana didakwa melemparkan fitnah terhadap parti itu berhubung insiden rusuhan di Jalan Sultan Mahmud di sini, 8 September lalu.

Laporan dibuat oleh Timbalan Pengerusi UMNO Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dan Setiausaha Badan Perhubungan, Datuk Rosol Wahid di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, pukul 2.30 petang ini.

Mereka diiringi kira-kira 50 orang penyokong UMNO yang memenuhi pekarangan balai polis itu dalam suasana aman.

Pada sidang akhbar selepas itu, Tengku Putera berkata, laporan polis dibuat bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil ke atas pemimpin Pas itu yang terus melemparkan pelbagai fitnah terhadap UMNO berhubung insiden berkenaan.

“Pas banyak berbohong termasuk di masjid mengenai insiden rusuhan itu dengan berniat jahat mengelirukan rakyat termasuk menuduh UMNO kononnya merancang rusuhan itu.

“Kami telah berbincang dengan peguam parti mengenai tindakan yang bakal diambil kerana kita mahu Pas segera menghentikan pembohongan mereka mengenai insiden rusuhan itu,” katanya.

Dalam kejadian 8 September lalu, kira-kira 750 orang dipercayai penyokong pembangkang bertindak liar apabila diarah bersurai daripada menghadiri satu perhimpunan haram di Jalan Sultan Mahmud di sini.

Ekoran kejadian itu, polis telah mengeluarkan gambar 46 individu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Mustafa pada sidang media di ibu negara mendakwa kononnya rusuhan tersebut dirancang UMNO dan kenyataan itu telah disebarkan melalui risalah dan penerbitan Pas.

Mengulas lanjut, Tengku Putera yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, pihaknya kesal apabila Pas bukan saja sanggup berbohong melalui risalah yang disebarkan tetapi juga menggunakan masjid bagi melakukan pembohongan.

“Walaupun kita mengadakan penerangan, UMNO tidak terlalu agresif sepanjang Ramadan lalu kerana kita menghormati bulan yang mulia tetapi sekarang, kita akan menggerakkan jentera penerangan parti.

“Kita bukan saja akan memberi penerangan tetapi tindakan undang-undang juga akan diambil ke atas pemimpin Pas yang gemar melemparkan fitnah,” ujarnya.

No comments: