KUALA LUMPUR: Pemimpin Barisan Nasional (BN) meminta Parti Progresif Penduduk (PPP) tidak buat kenyataan terbuka dalam membuat tuntutan untuk kepentingan parti itu, sebaliknya menggunakan saluran sesuai bagi mengelak salah tanggapan dan ketegangan.
Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menganggap tuduhan PPP mengenai kesetiaan dalam BN dan tuntutan calon pilihan raya secara terbuka sebagai tidak bijak kerana seolah-olah menunjukkan hubungan parti komponen BN sedang bergolak.
"Perbalahan kecil dan remeh seperti ini adalah perkara terakhir dikehendaki ketika BN menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa saja dari sekarang. Kita tidak mahu, rakyat menganggap BN sudah berpecah-belah.
"Kayveas (Presiden PPP) seharusnya tahu perkara ini dan berusaha mengelakkannya. Dia seharusnya menerima apa yang diberikan dan jika tidak berpuas hati, boleh berbincang dengan Pengerusi BN," katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pengerusi Media Prima, Datuk Abdul Mutalib Mohd Razak di sini semalam.
Beliau berkata, PPP usah bermain api dengan mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana ia akan mengundang reaksi kurang senang daripada ahli komponen BN dan akhirnya PPP sendiri akan rugi jika perkara itu berlarutan.
Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib menasihatkan PPP menyuarakan ketidakpuasan hati mereka kepada pucuk pimpinan BN dan bukan membincangkan secara terbuka.
Exco Pemuda Umno yang juga Pengerusi Biro Latihannya, Mohd Jais Sarday, berkata Pemuda PPP tidak sewajarnya membuat ucapan mirip ugutan kepada pemimpin BN.
No comments:
Post a Comment