Tuesday, October 23, 2007

Klip video: BPR ambil keterangan Anwar lagi

KUALA LUMPUR: Badan Pencegah Rasuah (BPR) semalam sekali lagi mengambil keterangan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi melengkapkan siasatan berhubung klip video yang didakwa memaparkan perbualan telefon seorang peguam dengan seorang yang dikatakan hakim kanan mengenai urusan pelantikan hakim.

Tiga pegawai BPR dilihat masuk ke pejabat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu di Jalan 16/2 Petaling Jaya kira-kira jam 10.50 pagi dan selesai mengambil keterangan tiga jam kemudian.

Kunjungan itu adalah yang kedua selepas proses mengambil keterangan yang pertama pada 19 September lalu.


Dalam satu kenyataan, Anwar mengesahkan tiga pegawai BPR menemuinya dan pada pertemuan itu beliau memberi jaminan akan menyerahkan salinan sebenar klip video 14 minit 16 saat itu kepada BPR, Khamis ini, untuk dianalisis secara teknikal bagi mengesahkan ketulenannya.

Anwar juga menyatakan beliau memaklumkan kepada pegawai BPR bahawa klip video yang asal ada pada sumber yang memberikannya kepadanya.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan dilaporkan sebagai berkata Anwar boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 22 Akta Pencegah Rasuah jika enggan menyerahkan bukti berkenaan.


Beliau berkata, keseluruhan rakaman asal klip video itu diperlukan dalam proses pembuktian selain keterangan yang direkodkan daripada beberapa saksi.

Sebelum ini, Anwar menyerahkan klip video yang disunting kepada BPR dan ia adalah sebahagian daripada keseluruhan rakaman asal yang lebih panjang.

Sementara itu, panel bebas khas yang ditubuhkan oleh kerajaan bagi menentukan kesahihan rakaman klip video berkenaan, akan bersidang semula Isnin depan.

Kenyataan Pejabat Perdana Menteri semalam berkata, sesiapa yang berhasrat memberikan sebarang bahan bukti kepada panel itu bagi mengesahkan kesahihan klip video itu boleh menghadiri sidang itu.

Panel itu akan bersidang di ibu pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Tingkat 30, Menara Tun Razak di Jalan Raja Laut, di sini.

Bagaimanapun, bagi tujuan pentadbiran, mereka yang ingin menghadiri sidang itu perlu memberi nama dan nombor kad pengenalan mereka terlebih dahulu kepada sekretariat panel di Pejabat Perdana Menteri.

No comments: