Oleh Norfatimah Ahmad
SEMANGAT BN: Abdullah bersama Kayveas (dua dari kiri) serta Ahli Majlis Tertinggi PPP mengangkat tangan selepas merasmikan perhimpunan agung parti itu |
Pak Lah mahu semangat muafakat dipertahan untuk rakyat
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, semalam menegaskan Barisan Nasional (BN) bukan parti untuk golongan tertentu saja, sebaliknya ia didokong anak watan yang mewakili semua kaum, golongan serta agama.
Pengerusi BN yang juga Perdana Menteri berkata, parti itu berjaya membentuk kerajaan selama ini kerana ia ditunjangi wakil pelbagai kaum dan agama, bukannya orang tertentu atau yang mewakili kepentingan satu pihak saja.
"Saya tidak setuju sama sekali jika ada yang berpendapat BN untuk segolongan orang saja... itu salah. Jika itu yang menjadi pegangan kita, tentu BN sudah lama lingkup dan tiada lagi, malah tidak dapat bertahan walau untuk sekali pilihan raya pun.
"BN juga bukan parti untuk orang kaya dan kita tidak pernah kenakan syarat hanya orang kaya boleh jadi anggota BN atau parti komponennya. Kita tidak akan maju jika mengamalkan pendekatan begitu.
"Kita perlu sedar sebenarnya kerajaan BN hari ini dimajukan dan dijayakan oleh anak watan dari semua golongan," katanya berucap merasmikan Perhimpunan Agung Parti Progresif Penduduk (PPP), di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, semalam. Hadir sama Presiden PPP, Datuk M Kayveas.
Perdana Menteri berkata, jika BN berjuang untuk kepentingan satu kaum saja, tentu ia sudah lama lingkup kerana ditolak oleh rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Malah, katanya, selama ini BN berjaya membuktikan bahawa asas perkauman dan kedudukan kaum tertentu dalam masyarakat tidak seharusnya menjadi punca pergaduhan dalam sesebuah parti.
Abdullah berkata, langkah BN menempatkan wakilnya di semua peringkat sama ada di bandar atau luar bandar serta di kawasan yang didiami masyarakat berbilang kaum dan agama juga memberi manfaat untuk semua.
"Kita bukan hanya mewakili golongan tertentu tetapi rakyat Malaysia pelbagai kaum tanpa mengira miskin atau kaya dan itulah kekuatan BN," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, muafakat dalam BN adalah penting untuk memberi keyakinan kepada rakyat bahawa ia masih teguh dan kukuh untuk melaksanakan tugas penting kepada rakyat dan negara.
"Muafakat, satu hati dan bertindak berlandaskan matlamat yang sama inilah cara yang dapat memberi kekuatan kepada kita," katanya.
Tanpa merujuk parti politik khusus, Abdullah berkata, ada yang cuba 'meniru' cara BN tetapi gagal, manakala BN pula berjaya membuktikan tugas yang dijalankan dan kejayaan yang dicapai itu adalah untuk bangsa dan negara.
Bagaimanapun, katanya, ketika ini, semua pihak perlu bersama meningkatkan lagi usaha untuk menangani sebarang kekurangan bagi memastikan budaya untuk mencapai kejayaan itu dikekalkan.
Mengenai cadangan menghapuskan kadar faedah pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Abdullah berkata, beliau bersedia meneliti perkara itu jika ia membebankan keluarga dan pelajar terbabit.
"Jangan putar belitkan fakta mengenai caj perkhidmatan yang dikatakan sebagai kadar faedah... jika ia menyusahkan keluarga kita akan teliti perkara itu," katanya.
Ketika ini, kos pentadbiran empat peratus setahun dikenakan bagi tarikh bayaran balik pinjaman sehingga 31 Disember 2003. Mulai 1 Januari 2004, kos pentadbiran diturunkan tiga peratus setahun atas baki berkurangan.
No comments:
Post a Comment