Monday, October 22, 2007

Jangan buat tekanan – Abdullah

Oleh: SAIFULIZAM MOHAMAD dan YULPISMAN ASLI

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan semua parti komponen Barisan Nasional (BN) supaya tidak memberi tekanan dalam membuat tuntutan pertambahan kerusi pada pilihan raya umum akan datang.

Perdana Menteri berkata, sebaliknya tuntutan mengenainya perlu melalui saluran yang betul iaitu dengan menghantar permohonan rasmi kepada pihak Jawatankuasa Pengurusan BN.

Katanya, sejak BN wujud, parti itu mengamalkan muafakat dalam semua perkara termasuk mengenai pengagihan kerusi kepada semua parti komponen.

“Tadi Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M. Kayveas ada cakap pasal pertambahan kerusi. Dia kata surat telah dihantar kepada Jawatankuasa Pengurusan BN dan saya kata kalau telah dihantar, kita akan timbangkan perkara itu.

“Itulah cara kita. Kita tidak perlu timbulkan sebarang tekanan untuk apa-apa pun tuntutan kerana kita semua bersaudara,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung PPP ke-54 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika memberi reaksi terhadap permintaan Kayveas supaya semua negeri memperuntukkan satu kerusi kepada PPP pada pilihan raya umum akan datang.

PPP yang mempunyai keahlian seramai 530,000 orang sebelum ini telah diberikan satu kerusi Parlimen iaitu di Taiping (diwakili Kayveas) dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Berdamar, Teluk Intan pada pilihan raya umum 2004.

Abdullah yang juga Pengerusi BN mengakui sememangnya pihak luar khususnya parti pembangkang mahu melihat BN dalam keadaan berpecah-belah.

Justeru beliau mahu semua parti komponen mengelak daripada berkelahi sesama sendiri kerana ia memberi kesan yang tidak baik kepada kestabilan BN.

“Kita mesti bermuafakat dan bekerjasama. Rakyat sendiri tidak suka melihat kita berkelahi kecuali pihak-pihak yang sering menentang kita. Golongan ini mahu melihat kita berpecah belah,” katanya.

Dalam pada itu, Abdullah menegaskan bahawa BN bukan parti untuk golongan tertentu sebaliknya ia merupakan parti bagi semua golongan tidak kira latar belakang, agama atau status.

“Siapa kata BN untuk orang kaya sahaja atau untuk golongan atau agama tertentu sahaja. BN adalah milik semua orang. Tertubuhnya BN adalah untuk membela nasib dan masa depan semua lapisan masyarakat tidak kira miskin atau kaya.

“Sekiranya inilah pegangan BN (parti untuk golongan tertentu) sudah pasti BN akan `lingkup’ dan akhirnya kita akan kalah dalam pilihan raya,” katanya lagi.

Beliau berkata, sejak era Perikatan lagi, asas kekuatan BN ialah mendapat sokongan rakyat daripada pelbagai lapisan dan ia telah terbukti dalam setiap pilihan raya.

“Rakyat yakin dengan kekuatan yang ada pada BN dan oleh itu mereka memberi sokongan sepenuhnya kepada BN kerana mereka tahu BN mampu memberi kemajuan kepada rakyat dan negara ini,” katanya.

No comments: