Monday, October 22, 2007

Konsep Islam Hadhari ke Rusia

KUALA TERENGGANU 21 Okt. – Konsep Islam Hadhari yang menekankan pendekatan ajaran Islam bagi mengeluarkan ummah daripada kemunduran akan diperkenalkan di Rusia pada tahun depan.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad berkata, pihaknya dalam proses menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Yayasan Sains dan Kebudayaan Islam Rusia bagi melaksanakan tujuan itu.

‘‘Usaha ini dicapai selepas kerajaan Rusia mahu Islam disebarkan di kalangan penduduknya mengikut cara diamalkan di Malaysia.

‘‘Kerajaan Rusia tertarik dengan pendekatan Islam Hadhari yang membawa umatnya keluar daripada kemunduran,” katanya selepas majlis perasmian Multaqa Al-Wiaz (Persidangan Agamawan) Peringkat Kebangsaan di sini hari ini yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh.

Menurut Mohd. Nakhaie, kerajaan Rusia tertarik dengan Islam yang diamalkan secara toleransi di negara ini yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama.

Beliau menambah, sebagai permulaan usaha itu, kedua-dua negara akan mengadakan pertukaran ulama dan ahli akademik.

No comments: