Oleh: FAIZAH IZZANI ZAKARIA
|
|
KUALA LUMPUR 21 Okt. – Tun Dr. Mahathir Mohamad dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) hari ini, tujuh minggu menjalani pembedahan pintasan jantung.
Bekas Perdana Menteri yang dimasukkan ke IJN pada 2 September lalu, berjalan meninggalkan wadnya pada pukul 10.25 pagi dengan ditemani isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, anak-anak dan ahli keluarga yang lain serta beberapa doktor.
Dr. Mahathir yang memakai kemeja berwarna merah dan berseluar hitam, berjalan menuju ke kenderaan sambil melambai-lambai tangan kepada orang ramai yang berada di situ.
Beliau pulang ke kediamannya di Seri Kembangan, dekat sini.
Sementara itu, IJN dalam kenyataannya berkata, para doktor yang merawat Dr. Mahathir berpuas hati dengan perkembangan kesihatan negarawan itu selepas menjalani pembedahan dan membenarkan beliau pulang hari ini.
Menurut kenyataan itu, Dr. Mahathir dijadual meneruskan latihan fisioterapi di rumahnya dan akan menjalani pemeriksaan berkala di IJN sepanjang proses pemulihannya.
Sementara itu, anak sulung beliau, Datin Paduka Marina berkata, Dr. Mahathir amat bersemangat untuk pulang ke rumah dan mahu melakukan aktiviti harian seperti biasa selepas benar-benar sihat.
‘‘Beliau (Dr. Mahathir) sungguh gembira kerana dibenarkan pulang dan hanya mahu berehat sepenuhnya.
‘‘Hari ini genap 50 hari beliau dirawat di IJN. Beliau dan seluruh keluarga mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan IJN yang merawatnya selama berada di IJN,” katanya ketika ditemui di lobi institut itu.
Menurut Marina, apa yang paling penting sekarang ialah memberikan Dr. Mahathir rehat yang secukupnya untuk membolehkannya sembuh 100 peratus.
‘‘Kalau mahu menerima lawatan mungkin kita kena kawal sikit dalam masa beberapa bulan ini,’’ katanya.
Marina yang hampir menitiskan air mata kegembiraan, turut berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan kesihatan bapanya itu sepanjang menerima rawatan di IJN.
‘‘Kami sekeluarga amat terharu kerana ramai yang tidak putus-putus mengirimkan kad, e-mel dan surat menyatakan doa mereka kepada beliau... terima kasih,’’ katanya.
Marina berkata, keluarganya akan mengadakan kenduri doa selamat namun masih belum menetapkan tarikhnya.
Dua orang jururawat dari IJN juga kini ditugaskan untuk memantau keadaan kesihatan Dr. Mahathir di kediamannya untuk beberapa hari akan datang.
Dr. Mahathir dimasukkan ke IJN pada 2 September lalu bagi menjalani pembedahan pintasan jantung.
Sementara itu, dalam blog www.rantingsbymm.blogspot.com, Marina berkata, Dr. Mahathir dan isteri disambut meriah oleh ahli keluarga sebaik tiba di kediamannya yang ceria dihiasi dengan kain rentang mengucapkan selamat pulang serta belon-belon.
“Makanan seperti pulut kuning, ketupat, nasi himpit, rendang dan serunding telah tersedia dihidangkan dan kami sekeluarga terasa seperti menyambut Hari Raya semula,” katanya.
Marina berkata, bapanya kemudian naik ke atas rumah dan menonton televisyen untuk seketika selepas itu.
No comments:
Post a Comment