Monday, October 22, 2007

Terus perjuangkan agenda perpaduan

SHAH ALAM 21 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, perpaduan masih lagi menjadi satu agenda yang perlu terus diperjuangkan oleh setiap kaum agar semua rakyat dapat menikmati suasana yang sebenar-benarnya.

Menurut Perdana Menteri, usaha meningkatkan hubungan erat sesama kaum perlu diteruskan dan bukan setakat ditunjukkan ketika meraikan perayaan sesuatu kaum sahaja.

‘‘Ini (perpaduan berterusan) perlu agar tidak wujud lagi perkara-perkara yang boleh menimbulkan rasa sangsi, gelisah, kurang percaya serta banyak kesan negatif apabila hal berkaitan agama ditimbulkan.

‘‘Saya percaya perpaduan yang ada sekarang ini dapat ditingkatkan dan dibina untuk menjadikan ia lebih hebat dan kuat lagi pada masa akan datang,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Perdana Negeri Selangor anjuran Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor di Stadium Malawati, di sini hari ini.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) negeri.

Dalam pada itu, Abdullah menekankan perlunya kemesraan yang ditunjukkan semasa perayaan dilakukan dengan ikhlas.

‘‘Jadi pastikan apa yang berlaku pada Hari Raya Aidilfitri iaitu kesediaan untuk bermesra dan bermaaf-maafan bukan hanya pada Hari Raya saja.

‘‘Ia merupakan satu kerelaan yang ikhlas yang bukan seperti kata (Allahyarham Tan Sri) P. Ramlee, lain di bibir lain di hati. Kita mahu apa yang diucapkan dan dilakukan adalah sama juga di hati,” tambahnya.

Perdana Menteri memberitahu, setiap rakyat di negara ini dapat menyambut perayaan setiap kaum yang dijadikan satu acara nasional kerana wujudnya kemakmuran di negara ini.

‘‘Suasana seperti ini sangat istimewa dan saya harap ia akan kekal selama-lamanya.

‘‘Kita juga menghormati perayaan lain iaitu perayaan Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas dan merupakan satu masa atau ketika untuk kita bergaul dan melahirkan suasana baik dan mesra,” katanya.

Kira-kira 20,000 orang membanjiri stadium pada majlis sambutan itu yang turut dimeriahkan dengan persembahan penyanyi Khadijah Ibrahim, Ramli Sarip, Alleycats, Awie dan Mawi.

No comments: