Sunday, October 07, 2007

Jangan selindung -- Beritahu kebenaran walaupun ia menyakitkan – PM

Oleh: NIZAM YATIM

KUALA LUMPUR 6 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta semua pemimpin politik dan ahli Kabinet supaya memberitahu perkara sebenar kepadanya walaupun ia mungkin sesuatu yang sukar untuk diterima oleh beliau.

Perdana Menteri berkata, beliau bersedia untuk mendengarnya walaupun cerita yang paling teruk sama ada berkaitan negara atau dirinya sendiri.

“Saya tidak mahu kita berpura-pura bahawa segala-galanya baik belaka, tak apa jangan bimbang semuanya okey Pak Lah kerana bila orang kata kepada saya jangan bimbang, saya akan lagi bimbang.

“Mereka ini cuba nak bagi saya tenang, kasihan kepada saya dan tak bagi saya susah hati. Beritahu kebenaran walaupun ia menyakitkan kerana seorang Perdana Menteri mesti mempunyai keberanian untuk mendengarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan 2007 di Menara PGRM di sini hari ini.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut melancarkan buku bertajuk Asas-Asas Kenegaraan Kita terbitan Gerakan yang merupakan himpunan empat dokumen utama kerajaan iaitu Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara, Wawasan 2020 dan Misi Nasional 2006-2020.

Abdullah yang juga Pengerusi BN berkata, beliau bimbang sikap menidakkan keadaan yang sebenar akan menyebabkan sesuatu isu dibiarkan terlalu lama sehingga terlewat dan payah untuk diselesaikan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan walaupun negara sudah 50 tahun merdeka, semua pihak tidak boleh menafikan perhatian serius harus diberikan terhadap isu agama dan toleransi kaum.

“Jika anda rasa ini merupakan pencapaian yang cemerlang, saya berterima kasih tetapi saya harus katakan yang ia bukan tanpa masalah.

“Kita masih mempunyai masalah hari ini yang kita harus uruskan sepanjang masa,” jelasnya.

Tambah Abdullah, semua pihak juga tidak boleh menafikan banyak dasar negara yang telah diperkenalkan pemimpin terdahulu masih belum berjaya sepenuhnya dan perlu diteruskan.

‘‘Dasar perpaduan yang melibatkan perkongsian kuasa antara kaum yang dimulakan pada zaman Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj masih lagi menjadi isu yang panas pada masa sekarang.

“Isu pembasmian kemiskinan juga terus diperkatakan dan kita juga masih membincangkan tentang penyusunan semula masyarakat kerana tempoh singkat yang diberikan kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB) tidak mencukupi untuk ia mencapai matlamatnya,” ujar beliau.

Menurut Perdana Menteri, dalam usaha meneruskan dasar terbabit, kerajaan akan terus berpegang kepada prinsip untuk tidak merampas hak mana-mana kaum.

“Kita akan memastikan pembangunan ekonomi negara bertambah besar supaya kita tidak perlu mengambil kekayaan kaum Cina untuk diberikan kepada orang Melayu dan India.

“Kita tidak boleh buat begitu kerana apa yang ada harus kekal pada mereka, itu hak mereka kerana telah berusaha,” tegasnya.

No comments: