KOTA KINABALU 6 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta seluruh ahli UMNO supaya menjadikan perjuangan politik yang didukung hari ini sebagai satu ibadah.
Perdana Menteri berkata, berikutan itu tidak ada sebab bagi ahli parti untuk berasa ragu-ragu terhadap apa yang telah diperjuangkan selama ini kerana jelas terbukti ia mampu memberi manfaat dan kemajuan kepada agama, bangsa dan negara.
‘‘Jadikanlah perjuangan politik kita ini sebagai satu ibadat yang akan diredai dan dirahmati oleh Allah s.w.t. dan kita perjuangkan dengan cara yang terbaik dan niat yang ikhlas demi pembangunan bangsa dan negara.
‘‘Perjuangan ini juga kita lakukan tanpa apa-apa keraguan langsung. Insya-Allah Allah akan memahami hasrat dan niat kita ini,” katanya semasa menyampaikan tazkirah pada majlis berbuka puasa bersama pemimpin kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan kerajaan di Kompleks Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.
Turut hadir,Datin Seri Jeanne Abdullah; Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan anggota Kabinet negeri Sabah.
Perdana Menteri berkata, jika sebelum ini terdapat di kalangan ahli UMNO yang berasa takut apabila bercakap mengenai Islam ketika berhadapan dengan Pas tetapi hari ini parti pembangkang itu telah jauh tertinggal di belakang.
Katanya, Pas hari ini tidak lagi mampu mengutarakan isu-isu Islam apabila kerajaan pimpinan UMNO membuktikan keupayaan membawa kemajuan kepada agama Islam dalam semua bidang sama ada politik, ekonomi dan pelajaran.
Malah, katanya, prinsip Islam Hadhari telah diterima baik oleh masyarakat bukan Islam kerana ia langsung tidak mengganggu-gugat hak dan kebebasan beragama di negara ini.
No comments:
Post a Comment