Sunday, October 07, 2007

Nalla ketuai parti baru

KUALA LUMPUR 6 Okt. – Ahli perniagaan, Datuk S. Nallakaruppan hari ini mengumumkan penubuhan parti politik baru mewakili kaum India, Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) yang akan dipimpinnya sebagai Presiden.

Bertujuan memperjuangkan peningkatan tahap kehidupan kaum tersebut khususnya bagi golongan belia dan penduduk kawasan pendalaman, beliau memberitahu, penubuhan parti itu dibuat setelah mendapat maklum balas daripada peringkat akar umbi sejak empat bulan lalu.

‘‘Akar umbi telah menyuarakan keperluan tersebut dan saya percaya negara mempunyai ruang untuk satu lagi parti politik bagi kaum India.

‘‘MIUP akan dilancarkan bulan depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini dengan kehadiran sekurang-kurangnya 5,000 orang,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di kediamannya di Bukit Tunku di sini hari ini yang turut dihadiri para penyokongnya dan Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak), Mohamad Ezam Mohd. Nor.

Nallakaruppan pernah menjadi Ketua Bahagian Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kepong sebelum meninggalkan parti itu pada 25 Mei lalu atas alasan PKR tidak berminat membantu masyarakat India.

Kini, jelas beliau, MIUP yang didaftar pada 14 September 2007 mempunyai lebih 100 ahli, sebahagiannya daripada PKR dan parti-parti lain.

Nallakaruppan berkata, kebanyakan ahli terdiri daripada golongan profesional termasuk peguam, doktor serta juruterbang dan dalam masa tiga bulan MUIP akan berusaha menarik lebih 20,000 ahli.

Ditanya sama ada Malaysia memerlukan satu lagi parti politik mewakili kaum India, katanya, negara boleh mempunyai 10 parti lagi namun jika beliau mampu membantu hanya 10 orang India, ia sudah cukup menggembirakannya.

Mengulas pilihan raya umum pula, beliau berkata, MUIP belum bersedia untuk bertanding pada pilihan raya akan datang.

Mengenai hubungannya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nallakaruppan berkata, ia merupakan kisah lampau, apatah lagi di dalam arena politik, berkawan dan bermusuh boleh berubah dari sehari ke sehari.

Ezam pula semasa ditanya mengenai kehadirannya hari ini memberitahu ia dilakukan atas kapasitinya sebagai sahabat lama Nallakaruppan dan jawatannya sebagai Pengerusi Gerak.

‘‘Saya yakin parti ini akan memainkan peranan penting dalam membina negara yang menentang rasuah,’’ katanya.

No comments: