Oleh Nasron Sira Rahim
Empat juta rakyat boleh undi didapati masih belum mendaftar
KUALA LUMPUR: Mereka yang mendaftar selepas September lalu tidak dapat mengundi sekiranya pilihan raya umum ke-12 diadakan pada akhir tahun ini kerana nama mereka tidak sempat dimasukkan ke dalam daftar pemilih, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.
"Saya sudah beri amaran awal-awal lagi, jika pilihan raya berlaku pada tahun ini, orang yang mendaftar selepas September mungkin tidak dapat dimasukkan dalam daftar pemilih, tetapi jika pilihan raya tahun depan, orang yang mendaftar ini Insya-Allah dapat dimasukkan dalam daftar dan dapat mengundi.
"Dengan penjelasan ini, jangan pula kita tidak pergi mendaftar, pergilah mendaftar kerana kita tidak tahu bila akan diadakan pilihan raya. Kita tidak tutup pendaftaran pemilih, undang-undang membolehkan pendaftaran dilakukan sepanjang tahun," katanya pada sidang media sempena Program Nur Hidayah Tadarus al-Quran di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar di sini, semalam.
Beliau berkata, hingga kini, kira-kira empat juta orang yang boleh mengundi masih mendaftar sebagai pengundi dan kebanyakan mereka berusia antara 21 hingga 35 tahun yang tinggal di kawasan bandar.
"Kita tidak boleh menggubal akta supaya setiap rakyat di negara ini diwajibkan mendaftar sebagai pengundi. Jika kita wajibkan pendaftaran, kita kena wajibkan pengundian dun ia bertentangan dengan hak asasi manusia kerana ada kaitan dengan memaksa orang.
"Jika gubal juga akta akan wujud masalah dari aspek perundangan. Jika lima peratus penduduk di negara kita tidak keluar mengundi, maknanya sudah setengah juta orang tidak keluar mengundi. Macam mana nak dakwa begitu ramai orang yang tak keluar mengundi?" katanya.
Ditanya persediaan SPR untuk pilihan raya umum akan datang, Abdul Rashid berkata, SPR bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa, malah memberi jaminan kekecohan seperti dialami pilihan raya umum 2004, tidak akan berulang.
Beliau berkata, pihaknya cuma menunggu �lampu hijau� daripada kerajaan untuk membubarkan parlimen bagi membolehkan tarikh dan proses pilihan raya dilaksanakan.
"Bila pilihan raya akan diadakan, terpulang kepada kerajaan dan pembubaran parlimen oleh Yang di-pertuan Agung, SPR hanya menentukan tarikh pilihan raya selepas dibubarkan. Kami memang sudah bersedia untuk menjalankan tugasnya bila-bila masa bermula sekarang.
"Masalah seperti yang berlaku pada pilihan raya lalu Insya-Allah tidak akan berulang. Dulu berlaku ketika kami di SPR dan ahli panel tidak sedar bahawa ada perkara seumpama itu dilakukan pejabat negeri.
"Semua orang belajar daripada kesilapan, pejabat negeri kini sudah diminta supaya tidak lari daripada arahan yang diberikan ahli panel," katanya.
No comments:
Post a Comment