Sunday, October 07, 2007

'Beri perhatian isu agama, perkauman'

Oleh Norfatimah Ahmad


Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi

PM tak mahu pemimpin politik sembunyi masalah daripadanya

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam mahu semua pihak terutama pemimpin politik supaya tidak menyembunyikan daripadanya sebarang masalah termasuk berkaitan agama dan isu perkauman walaupun hakikatnya ia berita yang sukar untuk diterima.

Perdana Menteri berkata, sebagai pemimpin yang diberi mandat oleh rakyat untuk menerajui negara, beliau perlu berani menghadapi sebarang kemungkinan jika itu adalah kenyataan.

"Perdana Menteri mesti berani menerima apa yang berlaku, walaupun berita paling teruk berkaitan negara atau dirinya sendiri.

"Kita tidak harus berlagak seolah-olah tidak ada kecacatan, kelemahan atau kekurangan, hingga hidup dalam keadaan yang tidak dapat menerima kenyataan. Keadaan itu juga yang akan menyebabkan kita berhadapan masalah dan sukar menanganinya dengan baik," katanya berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan 2007 ke-36 di Wisma PGRM di sini, semalam.

Turut hadir Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu dan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting.


Abdullah kesal dengan tahap pemikiran rakyat yang mudah terperangkap dengan isu perkauman dan pantas memberi maklum balas sedangkan perbuatan itu memberi kesan lebih buruk.

"Kadang-kadang kita lupa dalam usaha menangani isu perkauman, perlu ada pertimbangan mendalam dengan berbincang dan menetapkan cara dan pendekatan terbaik untuk diambil.

"Mujurlah parti kita (Barisan Nasional) walaupun terperangkap dengan isu perkauman yang timbul itu tetapi disebabkan sudah lama diasuh menghadapinya dengan hati-hati, sebarang isu dapat diselesaikan," katanya.

Berikutan itu, beliau berkata, semua pihak, terutama parti politik perlu memberi perhatian terhadap isu perkauman dan agama kerana pencapaian negara yang membanggakan kini tidak diperoleh tanpa sebarang masalah.

"Saya berterima kasih jika semua pihak menganggap pencapaian negara kini pada tahap cemerlang, tetapi perlu saya tegaskan, ia dicapai bukan tanpa masalah dan hari ini pun kita masih ada masalah yang perlu diuruskan.

"Perasaan tidak berpuas hati ada di mana-mana, ada dalam MIC, MCA atau Gerakan... memang ada dan PM (Perdana Menteri) tahu sebab dia ada telinga besar," katanya sambil disambut gelak tawa perwakilan.

Katanya, beliau sentiasa memastikan kehadiran dan pendiriannya pada perhimpunan agung parti komponen BN konsisten sejak dilantik pada 2004.

"Saya diberi amanah menjalankan tugas untuk semua rakyat, dan apabila memikirkan dasar nasional, saya akan pastikan pandangan dan perasaan kaum lain diambil kira kerana sikap adil, saksama dan hormat menghormati itu adalah jati diri bangsa kita yang sebenar dan saya rasa tercabar dan bertanggungjawab untuk melaksanakannya," katanya.

Sambil merujuk ucapan perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno tahun lalu yang menimbulkan rasa tidak puas hati segelintir rakyat, Abdullah berkata, pendiriannya mengenai perpaduan, kerjasama, masa depan rakyat dan negara ini masih kekal kerana amanah yang diberi adalah untuk menjalankan tugas kepada rakyat tanpa mengira kaum.

"Walaupun nak melahirkan perasaan, jangan sampai ketepikan kepentingan dan hak kaum lain," katanya memberi jaminan akan terus komited kepada persaudaraan dan kerjasama dalam BN dan sekali lagi mengajak rakyat bekerja bersama beliau, bukan untuk beliau.

No comments: