Oleh: HAMDAN TAWADI
KUALA LUMPUR 6 Okt. – Langkah untuk mewajibkan rakyat negara ini mendaftar sebagai pengundi tidak boleh dilaksanakan kerana amalan itu melanggar hak asasi dan sukar untuk dilaksanakan.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, adalah lebih baik jika parti-parti politik melakukan inisiatif bagi menggalakkan mereka untuk mendaftar.
“Jika kita mewajibkan semua orang mendaftar sebagai pengundi, ini akan menjurus pula kepada mewajibkan pengundian.
“Jumlah mereka yang tidak keluar mengundi juga adalah ramai. Bagaimana kita nak mendakwa mereka semua,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Tadarus al Quran kawasan Parlimen Lembah Pantai di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai kewajaran langkah mewajibkan orang ramai mendaftar sebagai mengundi sempena pilihan raya umum yang bakal diadakan bila-bila masa dari sekarang.
Pada majlis itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyampaikan sumbangan duit raya dan hamper kepada 450 orang warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan anak-anak yatim sekitar kawasan parlimen Lembah Pantai.
Abdul Rashid berkata, bilangan kakitangan SPR adalah terhad berbanding bilangan ahli parti-parti politik justeru golongan tersebut dilihat lebih berupaya untuk mempengaruhi atau menggalakkan orang ramai untuk mendaftar sebagai pengundi.
Dalam pada itu, menurut beliau, pengundi baru yang membuat pendaftaran selepas September lalu, tidak berpeluang mengundi jika pilihan raya diadakan pada tahun ini.
Katanya, ini kerana nama mereka yang mendaftar selepas September tidak akan dapat dimasukkan ke dalam senarai pemilih kerana tempohnya belum cukup tiga bulan.
Jelasnya, proses memasukkan nama sebagai pengundi dalam senarai pemilih perlu mengikut undang-undang dan tempoh masa yang ditetapkan ialah tiga bulan.
“Oleh itu, pengundi baru yang membuat pendaftaran pada bulan September, namanya akan dimasukkan dalam senarai pemilih bulan Disember.
“Jadi nama mereka tidak sempat disenaraikan sebagai pemilih berdaftar jika pilihan raya umum berlangsung pada tahun ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berharap orang ramai tidak berputus asa untuk mendaftar sebaliknya menasihatkan mereka segera berbuat demikian.
“Daftarlah segera (sebagai pengundi). Saya sendiri tidak mengetahui bila pilihan raya akan diadakan. Tahun ini atau tahun hadapan,” katanya.
No comments:
Post a Comment