Sunday, October 07, 2007

Pas Kelantan sedia nama calon pilihan raya

KOTA BHARU 6 Okt. – Badan Perhubungan Pas Kelantan sedang mengenal pasti senarai nama calon yang layak bertanding untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di negeri ini sebagai persiapan menjelang pilihan raya umum.

Setiausahanya, Datuk Takiyudin Hassan berkata, kesemua calon yang terdiri daripada gabungan muka baru dan lama itu akan diumumkan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat selepas membuat proses pemilihan tidak lama lagi.

Menurut beliau, penilaian dibuat berdasarkan kelayakan potensi calon yang sanggup ‘berkorban’ untuk parti termasuk memberi sumbangan kepada orang ramai serta tidak mempunyai kepentingan lain.

‘‘Pemilihan juga bukan bersandarkan pada populariti semata-mata dan akan ditapis sendiri oleh Menteri Besar sebelum diumumkan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberi sumbangan kepada 200 orang miskin di kawasan DUN Bukit Payong di sini hari ini.

Minggu lalu, Pas meramalkan pilihan raya umum akan diadakan pada Mac atau selewat-lewatnya pertengahan tahun depan berdasarkan beberapa perkembangan dalam negara yang menuntut penjelasan daripada kerajaan.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Mustafa Ali dilaporkan berkata, Pas menjangkakan pilihan raya umum pada November ini namun percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menangguhkannya sehingga tahun depan berikutan beberapa isu yang masih belum selesai.

Mustafa mendakwa, selagi isu-isu berkenaan tidak selesai, UMNO tidak mempunyai keberanian untuk menghadapi pilihan raya lebih awal.

No comments: