Sunday, October 07, 2007

Jangan tonjol fikiran sempit, negatif

KUALA LUMPUR 6 Okt. – Rakyat di negara ini perlu memfokuskan kepada pandangan positif yang matang, adil dan mengambil kira perasaan semua kaum serta berhati-hati apabila mengeluarkan sesuatu pandangan.

“Bila cakap sesuatu perlu ambil kira kepentingan negara. Jangan tonjolkan fikiran sempit dan negatif,” kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Ting selepas merasmikan persidangan ‘Malaysians Chinese Contributions and National Progress’ di sini, hari ini.

Beliau berkata setiap kaum tidak perlu terpengaruh dengan memberi reaksi balas terlalu cepat terhadap sesuatu isu kerana sesuatu pandangan itu tidak semestinya mewakili semua kaum.

“Jika rakyat pegang kepada goodwill, sentiasa menerima pandangan membina dan terbuka, kita tak ada perbalahan,” katanya.

Ong berkata mereka juga dituntut mementingkan persamaan dan mengurangkan perbezaan demi mengukuhkan tahap perpaduan dalam kalangan mereka.

Dalam pada itu, beliau menyanjung tinggi keluarga ibu bapa remaja Melayu berusia 15 tahun yang maut dalam kemalangan jalan raya kerana sanggup mendermakan jantung anak mereka kepada Tee Hui Yee.

“Rakyat Malaysia patut jadikan contoh itu, tak kira Cina, Melayu, India untuk mendermakan organ. Inilah semangat Malaysia yang tulen,” katanya.

– Bernama

No comments: