Monday, October 08, 2007

Anwar dicabar dedah identiti sumber

KUALA KANGSAR 7 Okt. – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dicabar mendedahkan identiti individu atau sumber klip video rakaman perbualan berhubung pelantikan hakim-hakim yang menimbulkan kontroversi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, Anwar tidak perlu bimbang kerana identiti sumber itu akan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Saksi bagi mengelakkan identitinya terdedah kepada orang ramai.

Malah, tegas beliau, jika keadaan memerlukan, kerajaan boleh menukar identiti saksi atau sumber tersebut supaya tidak dikenali oleh orang awam.

“Jadi, apa yang nak ditakutkan seperti kata pepatah berani kerana benar tapi saya rasa dia (Anwar) takut sebab dia salah. Kalau dia tak mengeluarkan sumber itu, tak syak lagi kepada saya dia takut kerana dia salah.

“Saya bagi jaminan, kita memang ada akta untuk melindungi saksi. Jika tak percaya kepada kerajaan, nak percaya kepada siapa lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2007 Parlimen Padang Rengas di sini hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas kesediaan Anwar untuk bekerjasama dalam siasatan kes tersebut tetapi bimbangkan keselamatan individu yang menjadi saksi dalam kes tersebut kerana BPR tidak ada kuasa untuk melindungi saksi.

No comments: