Sunday, October 07, 2007

Gabungan mesti dapat sokongan

PEKAN 6 Okt. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, cadangan supaya 14 parti komponen Barisan Nasional (BN) bergabung sebagai satu parti memerlukan sokongan padu anggota sebelum satu cadangan formal dipertimbangkan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, cadangan itu merupakan satu perubahan yang besar dan ia bergantung kepada anggota parti komponen bagi menerima perubahan itu.

“Kita tak perlu membuat apa-apa keputusan pada masa ini, apa yang penting ialah sesuatu perubahan itu mestilah melalui proses evolusi supaya semua pihak boleh menerima perubahan yang hendak dilakukan itu.

“Jadi eloklah sekiranya diterima di peringkat akar umbi dahulu sebelum diangkat sebagai cadangan yang formal untuk dipertimbangkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Ketua Pemuda Gerakan, Datuk Mah Siew Keong semalam supaya 14 parti komponen BN bergabung sebagai satu parti bagi memastikan agenda perpaduan nasional Malaysia tercapai sepenuhnya.

Ketika ditanya sama ada barisan kepimpinan parti komponen BN bersedia dengan cadangan sedemikian, Najib berkata, ia lebih bergantung kepada anggota parti komponen sama ada mereka sudah bersedia untuk menerima konsep seperti itu.

Terdahulu Najib menyampaikan dividen Rancangan Tanam Baru Berkelompok RISDA kepada 890 peserta dari Pahang Timur meliputi kawasan Pekan dan Kuantan.

Bayaran dividen bagi keseluruhan negeri Pahang berjumlah RM12.8 juta meliputi kawasan kebun seluas 3,424.1 hektar yang diagihkan kepada 2,503 peserta.

No comments: