Sunday, October 07, 2007

Jangan terlalu cepat beri reaksi isu perkauman – PM

Oleh: NIZAM YATIM


ABDULLAH Ahmad Badawi, Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon bersama kanak-kanak Tadika Rakan Cheras menunjukkan buku Asas-Asas Kenegaraan di majlis perasmian Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan 2007 di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 6 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan semua pihak supaya tidak terlalu cepat memberikan reaksi terhadap isu perkauman kerana ia akan menjadikan keadaan lebih rumit dan susah untuk diselesaikan.

Perdana Menteri berkata, sikap itu yang dilihat masih wujud di kalangan ahli-ahli parti komponen Barisan Nasional (BN) dan rakyat biasa adalah antara cabaran yang perlu dihadapi oleh kerajaan walaupun negara sudah 50 tahun mencapai kemerdekaan.

‘‘Saya rasa dukacita kerana pada hari ini kita masih cepat terperangkap dengan isu-isu berhubung kait dengan perkauman yang kita anggap dibangkitkan oleh mereka yang tidak suka kepada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan 2007 di Menara PGRM di sini hari ini.

Abdullah berkata, penyelesaian terbaik terhadap isu itu hanya boleh dicapai jika wujud proses pertimbangan mendalam dan perbincangan melibatkan pemimpin yang mewakili semua kaum.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, sikap memberikan reaksi terlalu cepat itu juga berpunca kerana ada rakyat berasakan kepentingan kaum mereka tidak diambil kira oleh kerajaan sehingga menyebabkan mereka menjadi gelisah dan marah.

‘‘Rasa tidak puas hati ini pernah dibangkitkan semasa perhimpunan agung UMNO pada tahun lalu dan cakap-cakap perkauman ini pun ada dalam MCA, MIC dan Gerakan. Perdana Menteri tahu, kerana telinga dia besar.

‘‘Jadi saya ingin mengulangi apa yang telah saya cakapkan semasa perhimpunan agung UMNO lalu iaitu sebagai parti yang diberi kepercayaan memimpin di peringkat nasional, tugasnya ialah untuk memperjuangkan nasib semua rakyat tanpa mengira kaum.

‘‘Sikap yang mengambil kira perasaan dan peranan semua kaum membolehkan banyak isu sensitif diselesaikan walaupun ada ketika negara ini berada dalam situasi yang cukup membimbangkan,” ujarnya.

Katanya, semua pihak harus yakin dengan jaminan yang telah diberikannya kerana ia dinyatakan secara konsisten ketika beliau berucap merasmikan persidangan tahunan parti-parti komponen BN.

‘‘Saya tahu bahawa kamu semua (pemimpin BN) sedar bahawa saya sentiasa konsisten dengan pendirian yang sama dan sebagai Pengerusi BN saya komited sepenuhnya kepada persaudaraan dan kerjasama yang telah diasaskan pemimpin terdahulu,” tegasnya.

No comments: