Sunday, October 07, 2007

Penggabungan 14 parti BN perlu sokongan padu

Oleh Ahmad Ghazali Musa


DURIAN RUNTUH: Najib menyampaikan dividen kepada peserta RTBB Risda, Yah Mat Said, 83, di Dewan IKM Tan Sri Yahya Ahmad di Pekan, semalam.

Cadangan mesti dapat persetujuan ahli sebelum dipertimbang: Najib

PEKAN: Datuk Seri Najib Razak berkata, cadangan penggabungan semua 14 parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) menjadi sebuah parti memerlukan sokongan padu ahli pada peringkat akar umbi sebelum ia boleh dipertimbangkan secara rasmi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, cadangan itu adalah satu perubahan membawa implikasi besar dan perlu diterima ahli parti komponen BN pada peringkat akar umbi.

"Kita tak perlu buat apa-apa keputusan pada masa ini, yang penting ialah sesuatu perubahan itu mestilah melalui proses evolusi supaya semua pihak boleh terima perubahan yang hendak dilakukan," katanya selepas majlis penyampaian dividen kepada peserta Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) Risda, di Dewan Institut Kemahiran Mara (IKM) Tan Sri Yahya Ahmad, di sini, semalam.

Pemuda Gerakan dalam persidangan perwakilannya, kelmarin mencadangkan penggabungan 14 parti komponen BN menjadi sebuah parti bagi memastikan agenda perpaduan nasional dapat dicapai.

Ketua Pemudanya, Datuk Mah Siew Kiong, dalam ucapannya berkata selepas 50 tahun mencapai kemerdekaan, langkah pertama yang perlu dilaksanakan ialah menggabungkan semua 14 parti komponen BN menjadi sebuah parti.

Bagaimanapun, Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyatakan tempoh lebih lama diperlukan untuk mengorak langkah sedemikian.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting, berkata kajian mendalam perlu dilakukan terlebih dulu, termasuk mengenal pasti kebaikan dan keburukan cadangan itu, sebelum sebarang keputusan diambil.

"Kita berpendapat sebarang perubahan drastik perlu dilakukan dengan berhati-hati kerana setiap parti komponen BN mempunyai pengalaman sendiri sepanjang bergabung selama 50 tahun.

"Jika kita terlalu cepat hendak membuat kesimpulan, sudah tentu ada implikasi lain. Sebab itu, satu kajian mendalam perlu dilaksanakan sebelum sebarang keputusan diambil," katanya selepas merasmikan Persidangan Mengenai Sumbangan Masyarakat Cina dan Kemajuan Nasional di sini, semalam.

Ditanya sama ada kepemimpinan Umno sedia menerima perubahan itu, Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata:

"Kita kena tanya ahli dulu. Perkara ini bukan kepada pemimpin, tetapi lebih kepada ahli parti sebab konsep BN sudah berjalan dalam konsep gabungan, kita tiada masalah dalam barisan sekarang ini. Ini bermakna sama ada ia boleh dilaksanakan atau tidak bergantung kepada ahli Umno dan komponen BN," katanya.

No comments: