Wednesday, May 13, 2009

Zambry kekal MB Perak

Zambry masih MB
Oleh Saufi Hamzah
sofeeham@bharian.com.my


Gambar kiri, NIZAR meninggalkan pejabat Menteri Besar Perak
di Bangunan Perak Darul Ridzuan jam 2.30 petang, semalam.
Gambar kanan, ZAMBRY pada sidang media di Ipoh selepas
Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan beliau.

NIZAR meninggalkan pejabat Menteri Besar Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan jam 2.30 petang, semalam

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini semalam membenarkan permohonan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Berikutan itu, Zambry kekal sebagai Menteri Besar Perak sehingga kes rayuannya diputuskan mahkamah.

Hakim Datuk Ramly Ali ketika membenarkan permohonan Zambry, kira-kira jam 1.15 petang semalam, berkata mahkamah akan menetapkan satu tarikh untuk mendengar rayuan berkenaan.

"Saya berpuas hati bahawa terdapat keadaan khas untuk membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan itu kerana rayuan Zambry akan dianggap sebagai tidak berguna jika penangguhan itu tidak dibenarkan.

"Ini adalah kes yang amat unik kerana ia bukan saja membabitkan Zambry dan Mohammad Nizar, tetapi juga seluruh negeri Perak," katanya selepas mendengar hujah peguam Zambry yang diketuai Datuk Cecil Abraham.


KENDERAAN Mohammad Nizar keluar dari Bangunan Perak Darul Ridzuan,
petang semalam selepas sejak awal pagi memulakan hari pertama beliau
di pejabat Menteri Besar Perak selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
- Foto IKhwan Munir

Barisan peguam Mohammad Nizar pula diketuai Sulaiman Abdullah, manakala Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail bertindak sebagai pencelah dan Penasihat Undang-undang Umno, Datuk Mohd Hafarizam Harun sebagai peguam pemerhati.

Zambry memfailkan permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan itu serta notis rayuannya, kira-kira 16 jam selepas Mohammad Nizar kembali menjadi Menteri Besar.

Semalam, Mohammad Nizar hanya sempat memasuki pejabat Menteri Besar di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh yang dikosongkan sejak tiga bulan lalu selama 20 minit sebelum bergegas keluar untuk ke Istana Iskandariah, Kuala Kangsar bagi menghadiri majlis penganugerahan pingat.

Beliau bersama isterinya, Datin Seri Fatimah Taat tiba di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada jam 7.15 pagi diiringi semua Exconya termasuk bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), V Sivakumar sebelum memasuki pejabatnya, kira-kira 7.30 pagi.

Malam kelmarin, Mohammad Nizar sempat mempengerusikan mesyuarat Exco negeri yang antara lain membuat keputusan untuk menghantar surat kepada Sultan Perak bagi memohon perkenan menghadap untuk membubarkan DUN Perak.

Mesyuarat itu turut menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim serta Penasihat Undang-undang negeri, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid berkuat kuasa serta-merta.

Mohammad Nizar dan semua Exconya bagaimanapun mengosongkan pejabat masing-masing pada jam 2.30 petang semalam selepas Mahkamah Rayuan menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkannya sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Pada prosiding semalam, Abraham dalam hujahnya berkata penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi itu perlu dibenarkan bagi menghalang Mohammad Nizar daripada memohon DUN dibubarkan sementara menunggu keputusan rayuan.

"Jika pembubaran (DUN) dibenarkan, permohonan ini akan menjadi sah. Status quo akan berubah jika pembubaran bagi menentukan siapakah Menteri Besar yang sah," katanya.

Abdul Gani pula berkata, demi kepentingan rakyat Perak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), perintah penggantungan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi itu harus dibenarkan sehingga rayuan didengar di Mahkamah Rayuan.

"Cara yang betul ialah pergi ke mesyuarat DUN bagi menyelesaikan kemelut politik. Penggantungan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri adalah tidak sah kerana ia adalah pelantikan Persekutuan," katanya.

Bagaimanapun, Sulaiman memohon Mahkamah Rayuan menolak permohonan Zambry dan meminta hakim menetapkan tarikh rayuan yang awal.

"Adalah menjadi kuasa Sultan untuk membubarkan atau tidak membubarkan DUN. Kenapa buat permohonan ini kerana kuasa adalah di tangan pihak ketiga bernama Sultan.

"Mengapa dia (Zambry) memohon penangguhan pelaksanaan sekarang padahal keputusan untuk membubarkan DUN memerlukan perkenan Sultan," katanya.

Seorang lagi peguam yang mewakili Mohammad Nizar, Ranjit Singh, berkata mereka sedang menimbang untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan bagi mengenepikan perintah penangguhan keputusan itu.






Zambry kekal MB Perak



Oleh NORLIZAH ABAS
pengarang@utusan.com.my


PUTRAJAYA 12 Mei - Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir untuk menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Dengan keputusan itu, status quo Zambry sebagai Menteri Besar Perak kekal buat masa ini sehingga rayuannya terhadap perintah Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) semalam diputuskan oleh Mahkamah Rayuan kelak.

Hakim Datuk Ramly Ali ketika memutuskan demikian turut memerintahkan agar tarikh awal ditetapkan bagi mendengar rayuan tersebut.

Hakim Ramly ketika membacakan penghakiman ringkasnya menyatakan, mahkamah menggunakan bidang kuasanya mengeluarkan perintah penggantungan tersebut berdasarkan kepada keunikan dan kepentingan situasi politik di Perak.

Beliau menyatakan, perkembangan di Perak bukan hanya melibatkan Zambry selaku Menteri Besar malah ia turut membabitkan keseluruhan perjalanan politik di negeri tersebut.

''Mahkamah menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi itu setelah berpuas hati bahawa perkembangan kes ini amat penting dan unik. Rayuannya akan didengar pada tarikh awal,'' ujar Hakim Ramly.

Semalam, Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim membenarkan permohonan semakan kehakiman Mohammad Nizar, 52, agar mahkamah mengisytiharkan beliau masih Menteri Besar yang sah berdasarkan perlembagaan negeri itu kerana beliau yang bertindak menasihati sultan untuk membubarkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun, setelah hampir 18 jam keputusan Mahkamah Tinggi dikeluarkan, Zambry memfailkan permohonan rasmi di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan kira-kira pukul 9.30 pagi ini agar perintah itu digantung sementara menunggu rayuan selesai.

Tindakan itu dibuat berikutan keputusan Hakim Abdul Aziz semalam yang menolak permohonan lisan peguam Datuk Cecil Abraham yang mewakilinya untuk menangguhkan perintah keputusan tersebut.

Permohonan itu ditolak setelah Abraham gagal mengemukakan nas undang-undang berkaitan penangguhan itu.

Selain permohonan penangguhan, Zambry hari ini turut memfailkan rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Notis rayuan itu difailkan melalui firma guaman, Tetuan Zul Rafique & Partners di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di ibu negara kira-kira pukul 9 pagi ini.

Dalam prosiding hari ini, peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Mohammad Nizar berhujah agar penangguhan perintah itu ditolak dan memohon mahkamah mengembalikan isu berbangkit ke Mahkamah Tinggi.

Beliau menyatakan, Hakim Mahkamah Tinggi sudah memberi laluan bahawa penangguhan boleh dibuat asalkan Zambry memfailkan permohonan secara bertulis di samping mengemukakan nas undang-undang yang berkaitan.

Sulaiman dalam hujahnya turut memohon agar satu tarikh awal ditetapkan untuk mendengar rayuan terhadap perintah tersebut bagi membolehkan ia diselesaikan segera.

''Jalan penyelesaian yang ada ialah menolak permohonan penangguhan atau mengembalikan ke Mahkamah Tinggi melainkan mahkamah berpendapat isu berbangkit sudah akademik kerana Zambry bukan lagi Menteri Besar Perak,'' ujar Sulaiman.

Menurut beliau lagi, Menteri Besar tidak boleh membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) melainkan setelah mendapat perkenan Sultan Perak yang mana ia pernah ditolak pada kali pertama permohonan dibuat.

Kata Sulaiman, jika mahkamah menetapkan tarikh awal, kemungkinan Sultan Perak akan menangguhkan perkenan baginda (agar Dewan dibubarkan) dan menunggu sehingga keputusan dikeluarkan.

Peguam Datuk Cecil Abraham yang mewakili Zambry pula berhujah, perintah Mahkamah Tinggi itu perlu ditangguhkan segera bagi menyekat Mohammad Nizar memperoleh perkenan Sultan Perak untuk membubarkan DUN.

Terdahulu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang bertindak sebagai pencelah bagi kerajaan Malaysia berhujah agar isu itu diselesaikan ke peringkat Mahkamah Persekutuan secepat mungkin.

Beliau menyatakan, perkembangan politik di Perak memberi kesan kepada seluruh negara dan jika dilengah-lengahkan akan menimbulkan krisis yang berpanjangan.

Sementara itu di luar mahkamah, peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun bersama-sama Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang bertindak sebagai peguam pemerhati bagi Barisan Nasional (BN) memberitahu, keputusan itu menandakan kejayaan awal BN yang diperoleh berlandaskan kepada lunas undang-undang.

Menurut Mohd. Hafarizam, penangguhan itu dengan sendirinya menjadikan perintah semalam digantung manakala status quo Zambry serta barisan Exconya kekal.

No comments: