Wednesday, May 13, 2009

Nizar keluar pejabat MB

Nizar keluar pejabat MB



MOHAMMAD NIZAR meninggalkan pejabat Menteri Besar Perak apabila
Mahkamah Rayuan di Putrajaya membenarkan permohonan Datuk Seri
Zambry Abdul Kadir untuk penangguhan pelaksanaan keputusan
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, di Ipoh, semalam.

IPOH: Kurang 24 jam, itulah tempoh masa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menjadi Menteri Besar semula, sebelum Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau adalah Menteri Besar Perak yang sah.

Malah, Mohammad Nizar hanya sempat memasuki pejabat Menteri Besar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini yang dikosongkannya kira-kira tiga bulan lalu, selama 20 minit sebelum keluar untuk ke Istana Iskandariah, Kuala Kangsar bagi majlis penganugerahan pingat.

Terdahulu, beliau bersama isterinya, Datin Seri Fatimah Taat tiba di Bangunan Perak Darul Ridzuan, jam 7.15 pagi diiringi semua Exconya, termasuk bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), V Sivakumar.

Mohammad Nizar dilihat keluar daripada bangunan itu jam 7.50 pagi menaiki kereta Toyota Camry dengan nombor pendaftaran AGS10 menuju ke Kuala Kangsar.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam keputusannya kira-kira jam 3.30 petang kelmarin mengisytiharkan Mohammad Nizar adalah Menteri Besar Perak yang sah.

Bagaimanapun, tepat jam 1.30 tengah hari semalam, Mahkamah Rayuan di Putrajaya membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi itu, sekali gus mengembalikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar.

Dengan keputusan itu, Zambry akan menjalankan tugasnya sebagai Menteri Besar Perak sehingga Mahkamah Rayuan membuat keputusan seterusnya.

Apapun, Mohammad Nizar turut sempat mengadakan 'Mesyuarat Exco' kerajaan negeri Pakatan Rakyat tengah malam kelmarin yang berlarutan sehingga awal pagi semalam dan membuat beberapa keputusan.

Antaranya mengisytiharkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada 7 Mei lalu tidak sah dan pelantikan Datuk R Ganesan sebagai Speaker DUN tidak berperlembagaan.

Mesyuarat itu turut memutuskan menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Hashim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Ahmad Kamal Shahid.

Selain itu, semua 817 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan 318 ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dipilih Pakatan Rakyat dikembalikan jawatan masing-masing.

Keputusan lain ialah menghantar surat kepada Sultan Perak memohon perkenan menghadap untuk membubarkan DUN Perak bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

Bagaimanapun, Zambry pada sidang medianya selepas keputusan Mahkamah Rayuan itu berkata, semua keputusan yang dibuat 'mesyuarat Exco' Pakatan Rakyat, malam kelmarin, adalah terbatal.

Beliau turut mempertikai keputusan 'mesyuarat Exco' berkenaan kerana membuat keputusan tanpa mengikut prosedur dan tatacara mesyuarat yang sah.

Berhubung sidang DUN Perak 7 Mei lalu yang dianggap tidak sah kerana beliau bukan Menteri Besar yang sah, Zambry berkata, keputusan untuk menetapkan tarikh dan memanggil persidangan adalah bidang kuasa Sultan Perak.

Zambry juga berkata, beliau akan meneruskan tugasnya sebagai Menteri Besar Perak.

Sementara itu, Mohammad Nizar dan semua Exconya dilihat mengosongkan pejabat masing-masing di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak di sini pada jam 2.30 petang semalam.

Bercakap pada sidang media sebelum itu, beliau berkata, tindakan mereka sebagai menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang menerima rayuan Zambry.

No comments: