Wednesday, May 13, 2009

Nizar diminta hormati keputusan mahkamah

Nizar diminta hormati keputusan mahkamah

IPOH 12 Mei - Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir meminta Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menghormati keputusan 'penangguhan sementara' yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan hari ini sepertimana beliau menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Sambil melahirkan rasa syukur, kata Zambry, beliau akan memasuki pejabat Menteri Besar bagi menjalankan tugasnya seperti biasa esok.

Beliau berkata, semua pihak termasuk Mohammad Nizar, harus memberi kerjasama yang baik demi memastikan agenda mengutamakan rakyat seperti yang dihasratkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tercapai.

''Saya anggap keputusan ini sebagai satu rahmat dan tanda demokrasi begitu juga proses keterbukaan undang-undang berjalan di negara ini.

''Saya berharap Mohammad Nizar dan rakan-rakannya menghormati keputusan ini sama seperti saya menghormati keputusan Mahkamah Tinggi semalam," katanya pada pemberita di Bangunan UMNO di sini hari ini.

Zambry berkata, beliau akan kekal sebagai Menteri Besar Perak sehingga keputusan rayuan tersebut diputuskan oleh pihak mahkamah.

Semalam Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) memutuskan Mohammad Nizar adalah Menteri Besar Perak yang sah.

Bagaimanapun keputusan tersebut masih belum muktamad kerana Zambry yang dinamakan sebagai responden dalam permohonan itu masih boleh mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Hari ini Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Zambry untuk penangguhan keputusan yang buat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu.

Mengulas tentang keputusan 'mesyuarat Exco' yang dipengerusikan Mohammad Nizar malam tadi, Zambry berkata, semua keputusan yang dibuat tersebut adalah terbatal dan tidak menjejaskan keputusan sebelum ini.

''Saya hendak maklumkan, kalau ikut tatacara mesyuarat Exco pun, sesuatu keputusan itu diterima hanya bila satu lagi mesyuarat Exco telah diadakan untuk meluluskan keputusan tersebut," ujar beliau.

Dalam satu mesyuarat Exco tergempar yang diadakan di rumahnya di sini tengah malam tadi, Mohammad Nizar antara lain mengumumkan keputusan menggantung jawatan atau kedudukan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Rahman Hashim dan Penasihat Undang-Undangnya, Datuk Ahmad Kamal Shahid.

Zambry berkata, pergolakan politik yang berlaku di Perak tidak akan dibiarkan berlarutan kerana ia akan menjejaskan keharmonian rakyat.

''Saya tidak mahu terus 'bermain' dengan mereka. Kita diajar supaya tidak mengharu-birukan keadaan, menimbulkan kekacauan, provokasi atau bersifat kepentingan peribadi malah ada kalanya subjudis," katanya.

No comments: