Wednesday, May 13, 2009

Gantung tugas SUK, Penasihat Undang-Undang serta-merta

Gantung tugas SUK, Penasihat Undang-Undang serta-merta

IPOH 12 Mei - Sebaik diumumkan sebagai Menteri Besar Perak yang sah, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin membuat keputusan menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Rahman Hashim dan Penasihat Undang-Undang negeri, Datuk Ahmad Kamal Shahid serta merta.

Jawatan mereka, kata Mohammad Nizar, akan dipangku oleh timbalan masing-masing sehingga keputusan lanjut diberitahu kelak.

Turut diputuskan dalam mesyuarat tergempar Exco kerajaan negeri pakatan pembangkang tengah malam tadi ialah melaksanakan dasar-dasar Barisan Nasional (BN) yang difikirkan sesuai selain meneruskan dasar kerajaan pimpinannya yang dipersetujui sebelum ini.

"Dasar-dasar yang akan kita teruskan termasuk isu kedudukan Jawatakuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan isu berkaitan tanah," katanya kepada pemberita di rumahnya di sini malam tadi.

Pada sidang akhbar yang sama, Mohammad Nizar berkata, semua Exco kerajaan negeri pimpinannya akan memulakan tugas seperti biasa.

Tegas Ahli Parlimen Bukit Gantang itu, beliau juga akan menghantar surat kepada Sultan Perak memohon menghadap bagi mendapatkan restu dan perkenan baginda membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut Mohammad Nizar, kesemua 318 ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) yang telah dilantik kerajaan pakatan pembangkang sebelum pengambilalihan oleh kerajaan BN, akan turut mengangkat sumpah dalam masa terdekat.

Beliau turut mendakwa kedudukan V. Sivakumar sebagai Speaker DUN Perak masih sah.

Ditanya bilakah sidang DUN akan dipanggil memandangkan tempoh yang tinggal hanya sehingga 13 Mei ini jika menganggap persidangan pada 7 Mei lalu tidak sah, kata Mohammad Nizar:

"Itu saya tak nak komen. Tapi yang pasti, kami ada masa enam bulan selepas mengadakan sidang DUN bawah pokok pada 3 Mac lalu."

Berkaitan dengan kemungkinan akan menerima usul undi tidak percaya pada sidang DUN yang akan dipanggil oleh BN, beliau berkata, setiap usul perlu diberikan notis dua minggu terlebih dahulu.

Selain itu beliau mendakwa, Datuk R. Ganesan iaitu Speaker baru yang dilantik oleh BN pada 7 Mei lalu belum lagi mengangkat sumpah jawatan menyebabkan beliau tiada hak hendak memanggil sebarang sidang DUN.

No comments: