Wednesday, May 13, 2009

Nizar jalan tugas 'MB'

Nizar jalan tugas 'MB'

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
pengarang@utusan.com.ny

Mohamad Nizar Jamaluddin tiba untuk memasuki bangunan kerajaan negeri di Ipoh, semalam.


KUALA KANGSAR 12 Mei - Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menjalankan tugas rasmi sebagai 'Menteri Besar Perak' dengan menghadiri istiadat pengurniaan pingat sempena Hari Keputeraan Sultan Perak di Istana Iskandariah di sini hari ini.

Majlis pengurniaan pingat disempurnakan oleh Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah yang mewakili ayahanda baginda, Sultan Azlan Shah.

Mohammad Nizar yang hadir bersama isterinya, Datin Seri Fatimah Taat, tiba di Istana Iskandariah menaiki kereta Toyota Camry AGS10.

Mereka tiba pada pukul 8.30 pagi sebelum keluar meninggalkan istana itu pada pukul 12.05 tengah hari.

Ketika ditemui di luar istana, Mohammad Nizar mengesahkan beliau telah menyerahkan surat permohonan untuk mendapatkan tarikh menghadap Sultan Perak.

Surat tersebut dihantar oleh pegawai khas beliau, Amran Harun ke Istana Kinta pada pukul 8.30 pagi ini.

''Saya sedang tunggu tarikh untuk menghadap Tuanku Sultan dan selepas itu baru saya akan cakap (mohon untuk bubar DUN)," katanya ringkas.

Ditanya sama ada beliau ada menyatakan kepada Raja Muda Perak mengenai hasratnya itu, Mohammad Nizar memberitahu, mereka hanya berbincang mengenai istiadat pengurniaan pingat dan hal keluarga.

No comments: