Wednesday, May 13, 2009

Tiada syarat bincang krisis Perak

Tiada syarat bincang krisis Perak

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman dan Azli Ayob
bhnews@bharian.com.my

Najib minta pembangkang hormati pendirian kerajaan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata pembangkang tidak boleh meletakkan sebarang syarat jika benar-benar mahu berbincang dengan Barisan Nasional (BN) bagi mencari penyelesaian kepada kemelut politik di Perak.

Perdana Menteri berkata, pembangkang juga perlu menghormati pendirian kerajaan yang menyatakan kesediaan untuk bekerjasama supaya krisis itu dapat diselesaikan secara baik.

"Kita sedia (bekerjasama). (Tetapi) Pembangkang tidak patut meletakkan sebarang syarat jika mahu berbincang. Jika kerajaan boleh menghormati pembangkang, pembangkang juga perlu menghormati kerajaan," katanya pada sidang media selepas melancarkan baka baru sawit Sime Darby Bhd di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Sime Darby, Tun Musa Hitam dan Presiden merangkap Pengarah Urusan Sime Darby, Datuk Seri Zubir Murshid.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini menyatakan kesediaan mereka mengadakan perbincangan dengan kerajaan berhubung kemelut politik di Perak.

Malah, Najib juga sudah menyatakan kesediaan kerajaan untuk bekerjasama dengan pembangkang bagi mencari titik persamaan berhubung isu itu.

Krisis politik di Perak sudah berlanjutan lebih 100 hari selepas Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin pada 6 Februari lalu.

Kemuncak kepada krisis itu ialah kekecohan lebih lima jam ketika mesyuarat pertama penggal kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Khamis lalu, sehingga terpaksa ditangguhkan dua kali.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, beliau menyerahkan kepada Zambry untuk menentukan tindakan lanjut BN di Perak berikutan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, kelmarin dan semalam.

"Saya tidak tahu. Terserah kepada Menteri Besar (Zambry) untuk memutuskan tindakan yang harus dibuat selepas ini. Kita membuat rayuan di Mahkamah Rayuan sebagai menghormati proses undang-undang," katanya.

Kelmarin, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Mohammad Nizar adalah Menteri Besar Perak yang sah.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan Putrajaya semalam membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi yang dipohon Zambry.

Ditanya mengenai kemungkinan DUN Perak akan dibubarkan, Najib yang juga Pengerusi BN berkata, beliau tidak berhak untuk berbuat demikian kerana ia adalah kuasa Sultan Perak.








Perlu ada sikap saling hormat

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 12 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pakatan pembangkang dan kerajaan perlu mempunyai sikap saling hormat-menghormati jika kedua-dua pihak mahu bekerjasama bagi menangani kemelut politik di Perak.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, beliau sehingga kini tidak dapat mengesahkan kemungkinan akan ada kerjasama seumpama itu kerana belum melihat syarat-syarat yang ditetapkan pihak pembangkang.

''Saya tidak tahu apa syaratnya. Ini (mengadakan kerjasama) bergantung pada syarat yang ditetapkan pihak pembangkang.

''Bagaimanapun, paling penting ialah untuk kita hormat antara satu sama lain. Kita perlu menghormati hak pembangkang dan pihak pembangkang juga perlu menghormati hak kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan penemuan saintifik terbaru Sime Darby Berhad di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Perdana Menteri mengulas kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang baru-baru ini yang sedia bekerjasama dengan beliau bagi menyelesaikan kemelut politik di Perak yang bermula sejak BN mengambil alih pemerintahan negeri itu daripada pakatan pembangkang tiga bulan lalu.

Kit Siang berkata, beliau melihat isu itu sebagai perkara yang penting dan perlu diberi perhatian segera supaya kemelut terbabit tidak berpanjangan sehingga menjejaskan pentadbiran negeri yang perlu memberi tumpuan kepada rakyat.

Dalam pada itu, Najib berkata, beliau menyerahkan kepada Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir untuk menentukan tindakan seterusnya selepas Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini membenarkan beliau meneruskan tugas sebagai Menteri Besar seperti biasa sehingga keputusan rayuan diumumkan.

''Saya tidak tahu. Ini terpulang kepada Zambry untuk membuat keputusan dan kita telah membuat rayuan di Mahkamah Rayuan kerana kita menghormati proses undang-undang," ujarnya.

Mengenai kemungkinan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan, beliau berkata, ia terpulang kepada Sultan Azlan Shah untuk membuat keputusan.

Tambah Najib, khabar angin bahawa Dewan Tertinggi BN akan bermesyuarat malam ini bagi membincangkan perkembangan terbaru politik itu juga adalah tidak benar.

''Saya tidak tahu dan perlu memeriksa diari saya terlebih dahulu, tetapi (mesyuarat) bukan malam ini,'' ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Najib menjelaskan, ketidakhadiran Tun Abdullah Ahmad Badawi ke Majlis Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-63 semalam adalah kerana bekas Perdana Menteri itu berada di luar negara.

''Beliau telah beberapa kali memberitahu saya bahawa dia akan menghadiri satu persidangan di Bandar Raja Abdullah, Arab Saudi.

''Saya gembira beliau pergi ke sana kerana sekurang-kurangnya Malaysia mempunyai wakil pada persidangan berkenaan,'' katanya.

No comments: